KOTA BHARU: Ketika kebanyakan pengusaha selesa dengan peralatan moden menghasilkan serunding, keluarga Mohamed Semail di Jalan Kubur Maras, di sini pula tetap menggunakan kaedah tradisional menggunakan dapur kayu.
Pun begitu, produk Pok Mat Serunding Maras tetap laris dan terus bertahan sejak dimulakan Mohamed, 67, bersama isteri, Sapinah Musa, 58 kira-kira 20 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak kedua dari lima beradik yang menguruskan perniagaan itu, Nur Nazifah Mohamed, 37, berkata, Pok Mat Serunding Maras terdiri daripada serunding daging, ikan dan ayam.
Kata Nur Nazifah, sebagaimana perusahaan serunding lain, perusahaan keluarga mereka turut terjejas akibat pandemik Covid-19 selain pernah ditutup selama dua bulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jika sebelum musim pandemik, kami dapat menghasilkan lebih kurang 360 kilogram serunding sebulan, sekarang sudah berkurangan kepada 300 kilogram namun Alhamdulilah, jualan dalam talian tetap laris. Selepas rentas negeri dibenarkan, tempahan mula meningkat semula.
“Pok Mat Serunding Maras terus bertahan kerana ada peminat tersendiri. Bagi mereka, serunding yang dimasak menggunakan dapur kayu ada rasanya yang tersendiri berbanding yang dimasak menggunakan mesin moden,” katanya.
Sementara itu, Serunding Suzara di Kampung Laut, Tumpat milik Suzara Sulaiman, 54, dan suaminya, Wan Zainudin Wan Hamat, 56, pula menggunakan kedua-dua kaedah moden dan tradisional bagi menghasilkan makanan tradisi Kelantan itu.
Menantu mereka, Fatin Nabila Sukri 28, yang mengambil alih pengurusan bersama suami, Wan Zairul Izzuan Ariz Wan Zainudin, 28, sejak tiga tahun lalu berkata, mereka sebenarnya generasi ketiga yang mewarisi perusahaan itu.
“Proses membuat serunding di kilang kami sebahagian besarnya menggunakan mesin moden. Namun kaedah tradisional menggunakan dapur kayu masih dilakukan sebanyak tiga kali seminggu.
“Memasak serunding menggunakan dapur kayu mengambil masa lama hingga lapan jam, kami berusaha mengekalkan kaedah ini kerana serunding yang dimasak secara tradisional juga ada peminat tersendiri,” katanya.
Kata Fatin lagi, memandangkan Serunding Suzara sudah memperoleh pengiktirafan sijil halal, mereka bercadang untuk memasarkan produk itu ke luar negara seperti Brunei, China dan Singapura.
“Dalam tempoh PKP, pengeluaran kami memang berkurangan kerana kekangan rentas negeri. Selain itu, kami turut berdepan masalah kenaikan harga bahan mentah seperti ikan, daging dan ayam sehingga tidak mampu lagi menyerap kos tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE