MARAN: Dua adik beradik antara 101 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pahang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 semalam.
Mereka ialah guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kilang Felda Jengka 18, Noor Akma Ahmad, 58, dan adiknya, guru Tabika Felda Jengka 15, Noor Azina, 54.
Dua tokoh pendidikan awal kanak-kanak itu mempunyai rekod cemerlang kerana setiap tahun membawa murid masing-masing ke pertandingan Hari Potensi Kanak-Kanak Kemas peringkat negeri dan kebangsaan.
Noor Akma yang berpengalaman membimbing kanak-kanak lebih 30 tahun berbangga dengan pengiktirafan tersebut walaupun ia bukan matlamat untuk dikejar dalam kerjayanya.
“Saya seronok apabila kanak-kanak bimbingan dalam usia lima ke enam tahun dapat berkomunikasi dan berkebolehan mendahului usia mereka seperti berpidato, menghafaz al-Quran dan bersyair.
“Pengalaman bertahun-tahun bersama kanak-kanak membuktikan bahawa potensi mereka dapat dibentuk dan dibimbing berdasarkan minat,” katanya di sini.
Majlis penyampaian APC disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kemas Negeri Pahang 2020 dan Majlis Jasamu Dikenang kepada 43 pesara 2021 di Hotel Grand Darul Makmur di sini semalam.
Bagi Noor Azina pula, anugerah APC menjadi pemangkin kepadanya untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada kanak-kanak yang majoriti terdiri daripada generasi ketiga dan keempat Felda.
Menurutnya, Tabika Kemas adalah institusi pendidikan awal kanak-kanak penting untuk mengembangkan pemikiran genius generasi baharu negara.
“Proses pendidikan jiwa dan potensi kanak-kanak adalah berangkai bermula dari rumah, tabika dan institusi pendidikan formal yang membentuk generasi kepemimpinan negara bangsa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Ahmad Ismail, 48, berkata, anugerah APC merupakan pengiktirafan jabatan kepada individu yang membuktikan kemampuan luar biasa mencapai sasaran kerja tahunan.
Abdul Rahman dalam ucapannya mengingatkan kakitangan Kemas berfungsi sebagai ejen pemacu semangat Keluarga Malaysia bagi mencapai impian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, tugas tersebut sesuai digalas Kemas sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ( KPLB) yang mempunyai rangkaian yang besar di seluruh negara.
“Mereka berkebolehan dalam memupuk semangat muhibah dan perpaduan sekali gus dapat melonjakkan aspirasi Keluarga Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri sendiri,” tambahnya. – UTUSAN