PETALING JAYA: Pelancong dari beberapa negara Eropah dijangka menjadi perintis awal Gelembung Pelancongan Antarabangsa ke Pulau Langkawi yang akan bermula pada 15 November ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beberapa negara lain turut menyatakan minat yang sama termasuk Rusia dan negara Asia Barat.
Katanya, kerajaan sentiasa terbuka dengan kemasukan pelancong pelbagai negara menerusi proses ketat termasuk mewajibkan penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan tempatan yang berdaftar dengan kementerian bagi menguruskan percutian mereka.
“Di samping itu, mereka (pelancong negara luar) juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk melakukan ujian calitan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) 72 jam sebelum masuk dan selepas lima hari berada di destinasi mereka.
“Dengan langkah-langkah yang diambil, ini boleh membantu kita untuk mengelakkan penularan dan mengesan sekiranya ada berlaku gejala penularan.Ini penting untuk merancakkan sektor pelancongan,” kata ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Badan Bukan Kerajaan (BBK) dan Sumbangan kepada Penggiat Seni di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya semalam.
Tambah Nancy, tempahan bagi penginapan di rumah inap desa juga menunjukkan peningkatan susulan kebenaran bagi pelancong luar untuk ke Pulau Langkawi dan ini sekali gus menjadi petunjuk terbaik bagi permintaan sektor berkenaan.
Dalam pada itu, Nancy berkata, sektor pelancongan di Langkawi akan dijadikan model dan kajian untuk melihat perubahan tingkah laku pelancong pasca Covid-19.
“Apa yang kita lihat ada pelancong yang tidak berkumpul di tempat yang ramai dan menghabiskan masa dengan keluarga melakukan riadah dalam kalangan mereka sahaja. Tinggal di hotel sahaja. Mereka mungkin berhati-hati,” jelasnya.
Nancy ketika ditanya berkenaan isu kegusaran segelintir pemain industri untuk mengambil pekerja berkata, ia adalah keputusan masing-masing. – UTUSAN










