Tiada penangguhan, persiapan PRN Melaka berjalan seperti biasa

Tiada penangguhan, persiapan PRN Melaka berjalan seperti biasa

AHMAD Zahid Hamidi bersama wakil UMNO Kedah dan Perak yang menjadi bapa angkat bagi DUN di bawah Parlimen Tangga Batu pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO Seluruh Negeri Melaka 2026 di MITC, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sepatutnya berlangsung apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) akan terus membuat persiapan seperti sepatutnya bagi mengekalkan rekod kemenangan pada 2021.

Katanya, komposisi pengundi di Melaka yang merangkumi kira-kira 63 peratus pengundi Melayu menuntut pendekatan lebih menyeluruh, selain tidak mengenepikan kepentingan pengundi bukan Melayu yang turut memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan BN.

“Saya tidak terdengar apa-apa berita mengenai penangguhan dan kita akan terus membuat persiapan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO Seluruh Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pencapaian meraih kemenangan besar pada 2021 menjadi rekod penting untuk dipertahankan, menjelang pembubaran DUN.

Beliau berkata, kemenangan 21 daripada 28 kerusi membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan parti serta kestabilan yang ditawarkan kepada Melaka.

Katanya, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan sokongan pengundi, malah menjadi asas kukuh untuk memastikan prestasi kerajaan negeri terus dipertahan dan dipertingkat.

“Kita tahu bahawa penyantunan ini wajib dilakukan bagi menyelaraskan prestasi yang telah diperlihatkan oleh kerajaan negeri daripada segi parti politik untuk menggamit dukungan daripada pengundi-pengundi pelbagai kaum di negeri ini.

“Kejayaan pilihan raya yang lalu harus dipertahankan dan kita berkeyakinan prestasi yang diperlihatkan oleh kerajaan negeri setakat ini cukup baik. Selama tiga tahun Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memimpin Melaka, banyak perubahan yang telah dilakukan dan kejayaan ini harus dipertahankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN