RM63.32 juta diperuntukkan bantu komuniti tani - Utusan Malaysia

RM63.32 juta diperuntukkan bantu komuniti tani

RONALD Kiandee (dua kiri) menyampaikan bantuan Program Kebuniti kepada wakil peserta sempena Program Sentuhan Kasih Tani di Telupid hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUPID: Sejumlah RM63.32 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) setakat ini bagi membantu golongan petani menerusi Program Kebuniti di seluruh negara.

Program berkenaan dilihat mampu membantu meningkatkan tahap ekonomi, sosial dan persekitaran golongan petani agar mereka mampu menjana peluang pekerjaan dan menyokong pengeluaran makanan untuk penduduk bandar dan luar bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Roland Kiandee berkata, sejak 2014 sehingga tahun lalu, sebanyak RM28.82 juta diperuntukkan untuk Program Kebuniti termasuk RM10 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang memberi manfaat kepada 165,207 orang di seluruh negara.

“Malah, peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta serta peruntukan tahunan RM4.5 juta diberikan pada tahun ini demi manfaat 39,608 orang di seluruh negara,” katanya semasa Program Sentuhan Kasih Tani, di sini hari ini.

Dalam program itu, Ronald turut menyampaikan bantuan kepada 300 peserta membabitkan 37 komuniti tani golongan B40 dari kawasan Telupid, Sugut dan Labuk menerusi peruntukan berjumlah RM1 juta di bawah Program Kebuniti.

Menurut beliau, melalui program itu, komuniti petani akan menjalankan penanaman secara konvensional dengan insentif pertanian seperti pasu panjang, peralatan kecil, baja dan benih tanaman.

Selain itu, Program Pertanian Organik juga mula diperkenalkan pada tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi meningkatkan hasil pertanian ke arah makanan yang selamat dimakan dan mesra alam.

Di Sabah, sebanyak RM500,000 diperuntukKan kepada Jabatan Pertanian Negeri Sabah bagi menjayakan Program Pertanian Organik yang membabitkan 83 orang peserta daripada 27 komuniti daerah di Beluran.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Beluran itu turut menyampaikan sumbangan 250 bakul makanan menerusi MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Kampung Bauto yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut katanya, MAFI akan terus berusaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan agar rantaian bekalan makanan sentiasa stabil dan terjamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN