Risda Sarawak salur bantuan RM51 juta kepada pekebun kecil getah - Utusan Malaysia

Risda Sarawak salur bantuan RM51 juta kepada pekebun kecil getah

Hasbi Habibolllah (dua dari kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan musim tengkujuh di Kuching semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Wilayah Sarawak memperuntukkan RM51.02 juta untuk disalurkan kepada 114,171 pekebun kecil getah di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata , peruntukan itu  bagi program kawasan bertanam getah, aktiviti ekonomi tambahan (AET), pembangunan produktiviti dan agromakanan.

“Program tanam semula getah dilihat mendapat sambutan daripada pekebun-pekebun kecil setelah bantuan tersebut ditingkatkan kepada RM14,805 sehektar berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13,500 sehektar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Risda dan Quickwin Kemas di sini semalam.

Teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah. 

Beliau berkata kawasan seluas 1,301 hektar (ha) telah berjaya ditanam semula yang memberi manfaat kepada seramai 1,504 orang pekebun kecil di negeri ini.

Bagi keperluan prasarana pertanian, beliau berkata kementeriannya melalui RISDA telah menyediakan 75.1 kilometer jalan pertanian, 67 unit pembentung, 3.2 kilometer sistem perparitan dan dua buah jambatan untuk kemudahan operasi perladangan, dan menambah kesemua bantuan melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM19 juta.

Bantuan peningkatan produktiviti getah pula membabitkan kawasan seluas 513.59 ha dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

“Bagi tujuan mengimbangkan pendapatan bukan hanya dari sektor getah, Risda menyediakan aktiviti ekonomi tambahan di mana seramai 145 orang usahawan pekebun kecil telah menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.48 juta dalam pelbagai sektor keusahawanan,” katanya.

Program agromakanan pula yang baharu diperkenalkan pada tahun ini menurut Mahdzir membabitkan 46 pekebun kecil yang terlibat dalam program ternakan, tanaman jangka pendek  dan jangka panjang.

“Sebagai sebuah kerajaan yang membawa aspirasi Keluarga Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut meneruskan bantuan musim tengkujuh tahun 2021 kepada 232,319 orang pekebun kecil Risda dan 86,323 orang pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh.

“Secara keseluruhannya, Risda Sarawak menyalurkan RM29.46 juta bagi program bantuan musim tengkujuh 2021 kepada 49,103 pekebun kecil,” katanya.

Katanya, pekebun kecil akan menerima bantuan tersebut pada bulan November dan Disember ini melalui perbankan elektronik terus ke akaun penerima.

Pada majlis itu Hasbi turut  menyampaikan bantuan bakul prihatin kepada 100 orang penerima terdiri daripada pekebun kecil dengan peruntukan sebanyak RM5,000 disalurkan di seluruh negeri.

Beliau menambah bantuan program tanggungjawab sosial korporat di bawah Yayasan RISDA itu bagi membantu penduduk luar bandar dan pekebun kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya