DUBLIN: Parlimen Ireland meluluskan rang undang-undang yang melarang import barangan dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki, ketika Dublin meneruskan antara langkah perdagangan paling tegas di Eropah berhubung pendudukan rejim Zionis.
Rang Undang-Undang Penempatan Israel (Larangan Import Barangan) melarang import barangan dari penempatan tertentu di Israel. Ia meliputi penempatan kediaman, pertanian dan perniagaan yang terletak di luar sempadan Israel yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Walaupun Ireland merupakan negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang mencadangkan larangan sedemikian, Sepanyol sudah melaksanakan pakej sekatan import terhadap penempatan Israel sejak Oktober tahun lalu.
Kerajaan campuran berhaluan tengah-kanan yang menggubal rang undang-undang itu berkata, kandungannya berpandukan pendapat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024.
ICJ memutuskan pendudukan Israel di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
Ireland antara negara yang paling lantang mengkritik pengeboman Israel di Gaza susulan serangan maut kumpulan pejuang Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023. Negara itu turut mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada 2024.
Tidak lama kemudian, Menteri Luar Israel, Gideon Saar mengarahkan kedutaan negaranya di Dublin ditutup dengan alasan Ireland mengamalkan dasar melampau anti-Israel.
Bulan lalu, Dublin turut melarang Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich daripada memasuki negara itu, sambil mengecam layanan mereka terhadap aktivis pro-Palestin.
Ireland juga sejak sekian lama menggesa semakan semula terhadap Perjanjian Persatuan EU-Israel, iaitu kerjasama yang ditandatangani pada 1995 dan menjadi asas hubungan perdagangan antara kedua-dua pihak.
EU bulan lalu memaklumkan akan meneliti pilihan untuk mengehadkan perdagangan dengan penempatan haram Israel.-AFP










