ISKANDAR PUTERI: Keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bukan faktor penentu bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan dalam tempoh terdekat ini ekoran kemelut politik yang melanda negeri itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin sebaliknya berkata, keputusan tersebut hanya boleh diputuskan Yang di-Pertuan Agong yang dijangka dimaklumkan minggu depan.
“Berkenaan sama ada PRN Melaka akan diadakan atau tidak, kita tunggu keputusan Agong. Biar Seri Paduka yang membuat keputusan sama ada ianya akan diadakan atau tidak, Kabinet akan akur.
“Kebenaran rentas negeri tidak bermakna PRN akan diadakan di Melaka, kerana ia bergantung pelbagai faktor termasuklah keselamatan dan kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar ketika melawat Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula esok secara serentak di seluruh negara.
Tambah Zuraida bagaimanapun memberitahu keputusan sama ada parti itu akan bekerjasama dengan UMNO sekiranya PRN Melaka diadakan tertakluk kepada kepimpinan parti.
Dalam perkembangan lain, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, cadangan mewujudkan hab perdagangan koko di PTP mampu menarik minat pelabur asing untuk meningkatkan sektor industri koko tempatan pada masa depan.
Zuraida berkata, ketika ini Malaysia lebih banyak mengimport biji koko dari benua Afrika dan memprosesnya sebelum dieksport kembali ke luar negara.
Menurut beliau, perkara itu mempunyai potensi tinggi sekaligus mampu meningkatkan pendapatan negara.
“Kita cuba lihat potensi untuk membawa pelabur luar masuk bagi memulakan syarikat atau kilang coklat di Malaysia dan menjadikan hab ini sebagai pusat pengedaran kepada negara serantau.
“Potensi besar dapat dilihat dari segi pengisaran biji koko berbanding penanaman koko dalam negara sendiri memandangkan kerumitan dalam prosesnya berkenaan,” katanya.
Tambah Zuraida, ketika ini terdapat seramai 5,200 pekebun kecil koko yang beroperasi di Johor, Sabah dan Sarawak dengan pengeluaran tahunan berjumlah 1,000 tan metrik.
“Buat masa ini, terdapat empat syarikat tempatan yang menjadikan PTP sebagai hab sektor berkenaan antaranya melibatkan proses pengisaran sebanyak 460,000 tan metrik setahun yang diimport masuk.
“Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun lalu manakala kementerian yakin unjuran pendapatan eksport negara pada tahun ini sebanyak RM6.5 bilion mampu dicapai,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










