Rentas negeri, 70 peratus pengusaha pelancongan beroperasi - Utusan Malaysia

Rentas negeri, 70 peratus pengusaha pelancongan beroperasi

WINSTON LIAW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengusaha industri pelancongan Sabah bersedia ‘membuka pintu’ bagi menerima kemasukan pelancong Semenanjung Malaysia dan Sarawak apabila sempadan negeri mula dibuka.

Kebenaran rentas negeri di seluruh negara yang bermula kelmarin membolehkan industri pelancongan di Sabah kembali ‘bernafas’ setelah sektor itu ditutup hampir tiga bulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA), Datuk Seri Winston Liaw berkata, sebaik sahaja sempadan negeri mula dibuka, mereka menjangka 60 hingga 70 peratus pengusaha pelancongan di Sabah akan beroperasi semula.

“Pada masa ini, kira-kira 30 hingga 40 peratus sahaja pengusaha pelancongan beroperasi kerana pergerakan rentas daerah di Sabah masih mengikut sistem zon. Namun, saya percaya apabila sempadan negeri dan juga negara dibuka, industri pelancongan akan kembali pulih.

“Walau bagaimanapun, dalam keghairahan membuka sempadan negeri, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di semua peringkat perlu diamalkan bagi mengelak penutupan semula industri pelancongan Sabah.

“Apabila negara beralih kepada fasa endemik, rakyat perlu menerima hakikat bahawa kita terpaksa hidup bersama virus. Namun, itu bukan alasan untuk kita tidak mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Justeru itu, Winston mencadangkan agar semua aktiviti pelancongan hendaklah menggunakan khidmat agensi pelancongan bagi memudahkan pergerakan pelancong dikawal dengan baik.

Melalui cara itu, pergerakan pelancong mudah dikesan sekiranya berlaku sebarang penularan kes jangkitan Covid-19. Bagi pelancong yang bergerak sendirian, sukar untuk mengetahui dan mengesan pergerakan mereka.

Mengulas lanjut katanya, apabila kerajaan persekutuan membenarkan pergerakan rentas negeri, beliau berharap Sabah juga akan mengambil keputusan yang sama dan tidak lagi mengehadkan pergerakan rentas daerah mengikut zon seperti yang dilakukan sekarang.

Jelas beliau, ekonomi Sabah bergantung kepada sektor pelancongan termasuk pelancong antarabangsa. Maka, kemasukan pelancong asing dari China dan Korea merupakan sasaran bagi Sabah kerana mereka ini mempunyai kuasa beli yang tinggi.

Oleh itu SATTA amat menantikan pembukaan semula sempadan negara kepada pelancong asing.

Winston berkata, jangkaan untuk membuka sempadan negara kepada pelancong asing menjelang hujung tahun ini mula memberi sinar harapan kepada pengusaha pelancongan di Sabah.

Sekiranya sempadan negara dibuka pada Disember ini, ia merupakan satu permulaan yang baik kerana hujung tahun adalah musim percutian.

“Bermula dari Disember, kita akan menyaksikan sektor pelancongan negara akan kembali pulih apabila sempadan negara dibuka dan diharap tiada lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN