Rakyat sabar, faham masalah Air Kelantan tapi usah lepas tangan - Utusan Malaysia

Rakyat sabar, faham masalah Air Kelantan tapi usah lepas tangan

ARIFFIN Awang (duduk) bersama jiran menunjukkan telaga tiub dibina di kawasan rumah mereka di Taman Harian, Kota Bharu kerana sering berdepan gangguan bekalan air sejak menetap di situ lebih 20 tahun lalu. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan sedar isu bekalan air di negeri ini tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat dan tidak kisah menunggu Pelan Induk Air Kelantan 2021 selesai dalam tempoh lima tahun lagi dengan penuh kesabaran.

Kesabaran mereka bagaimanapun hilang kerana Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) didakwa menjadikan alasan itu untuk lepas tangan dan mengabaikan kebajikan pengguna yang terjejas setiap kali gangguan bekalan air berlaku.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, amalan AKSB serta pelbagai pihak berwajib yang tidak responsif terhadap aduan itu menyebabkan pengguna tiada pilihan kecuali berkongsi masalah di media sosial.

“Sementara menunggu Pelan Induk Air Kelantan 2021 selesai, yang rakyat mahukan adalah pembelaan pimpinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka setiap kali berdepan gangguan bekalan.

“Ini bermakna sekiranya terdapat masalah, AKSB mestilah memaklumkan kepada pengguna lebih awal mengenai gangguan tersebut bagi memberikan masa secukupnya untuk mereka membuat persediaan.

“Selain itu, AKSB perlu menyediakan bekalan air alternatif dengan menghantar lori air bersama hos yang sesuai agar dapat disalurkan terus ke dalam tangki air di rumah pengguna yang terjejas,” katanya beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar ini semalam melaporkan perasaan letih, muak dan benci rakyat kian menebal terhadap AKSB kerana isu bekalan air yang berpanjangan dengan gangguan terbaharu menjejaskan kira-kira 50,000 akaun pengguna di lapan daerah.

Antaranya penduduk di Taman Harian dan sekitar Desa Rahmat yang mendakwa langsung tidak mene­rima bekalan air alternatif selepas sebulan terputus bekalan, sedangkan aduan sudah dibuat berkali-kali menerusi pelbagai saluran.

Mengulas lanjut, Dr. Hafidzah berkata, saranan beliau kali ini mungkin dipandang remeh dan nampak terlalu biasa, namun itu adalah perkara asas yang masih gagal dilaksanakan sewajarnya oleh kerajaan Kelantan.

“Akhbar Utusan Malaysia melaporkan lapan jajahan terkesan dengan gangguan bekalan air. Ini bermakna lapan daripada sepuluh jajahan terkesan atau boleh 80 peratus rakyat Kelantan sedang merasai keperitan hidup tanpa bekalan air bersih,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya