Pusat Santuari Gajah tarikan baharu di Kota Tinggi - Utusan Malaysia

Pusat Santuari Gajah tarikan baharu di Kota Tinggi

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menerima mengadap Hazlina Jalil (tengah) dan Aminuddin Jamin yang menyembah taklimat pembinaan JES Kota Tinggi di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan keyakinan baginda bahawa Pusat Santuari Gajah (JES) di Kota Tinggi akan mampu menjadi produk pelancongan baharu di negeri ini.

Baginda bertitah, pusat santuari berkenaan juga dilihat berupaya meningkatkan kualiti habitat haiwan berkenaan.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menerima mengadap Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil dan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, hari ini.

Pada pertemuan itu, Aminuddin turut mempersembahkan taklimat pelaksanaan dan perkembangan penyelarasan Projek Santuari Gajah Johor kepada baginda. 

Menurut Aminuddin, tujuan pembinaan pusat berkenaan antara lain bagi memperkasakan pengurusan gajah di negeri ini dengan mengurangkan masalah gangguan gajah-gajah liar di kawasan pertanian serta penempatan. 

Santuari itu turut berperanan menyediakan peluang aktiviti berasaskan ekopelancongan lestari dan mampu menjana sosioekonomi penduduk setempat.

“Komponen pembangunan yang telah disiapkan dalam Fasa 1 meliputi padok gajah, padang ragut, jambatan, jalan masuk utama dan bangunan pentadbiran serta berek pekerja,” katanya di sini.

Beliau turut mempersembahkan taklimat pelaksanaan pembangunan Fasa 2 JES (2020-2025) antara lain merangkumi aktiviti kemudahan pelawat, pemantauan pagar elektrik serta kelengkapan, sistem amaran awal, pembangunan lanskap dan program bersama penduduk setempat. 

“Kemudahan dataran pelawat antara lain menempatkan surau, kedai cenderahati, kafe, laluan siarkaki, mercu tanda, taman permainan, wakaf dan pelbagai lagi. 

“Pusat berkenaan dijangka dibuka kepada orang awam selepas berakhirnya Fasa 2 pada tahun 2025, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat yang berkunjung,” katanya.

Semalam, penduduk digemparkan dengan kehadiran dua ekor gajah dipercayai berkeliaran dari Batu 14 ½ Sungai Tiram ke kawasan belakang Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) dengan melintasi Taman Perumahan Bandar Tiram.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian yang tular di media sosial itu.

Katanya, setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda awam dan kemalangan jiwa di kawasan tersebut.

“Orang awam dinasihatkan jika mempunyai sebarang makluman mengenai kejadian gajah liar ini segera memaklumkan kepada pihak polis berdekatan atau boleh berhubung terus dengan Perhilitan Johor untuk tindakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya