PARIS: Ketika FIFA terpaksa menggugurkan Omar Artan daripada senarai pengadil Piala Dunia 2026 akibat larangan memasuki Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) pula tampil memberikan sokongan terbuka kepada pengadil Somalia itu.
UEFA semalam mengumumkan Artan akan mengendalikan aksi Piala Super UEFA pada 12 Ogos ini di Salzburg, Austria membabitkan juara Liga Juara-Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) dan pemenang Liga Europa, Aston Villa.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menyifatkan Artan sebagai antara pengadil muda terbaik Afrika yang sudah membuktikan kemampuannya di pentas tertinggi Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).
“Artan ialah pengadil muda yang cemerlang dan berpengalaman. Dia telah membuktikan kemampuannya pada tahap tertinggi bola sepak Afrika.
“Bola sepak sepatutnya menyatukan manusia dan UEFA mahu menunjukkan penghormatan terhadap Artan serta kualiti pengadilannya yang melayakkan dia menerima tugasan berprestij ini,” katanya.
Pelantikan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Artan dinafikan kemasukan ke AS ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami untuk menyertai tugas pengadilan pada Piala Dunia 2026 yang berlangsung di AS, Mexico dan Kanada.
Susulan insiden tersebut, FIFA mengesahkan pengadil berusia 32 tahun itu tidak lagi akan terlibat dalam kejohanan berkenaan walaupun sebelum ini tersenarai dalam kelompok 52 pengadil terbaik dunia yang dipilih mengadili saingan berprestij itu.
Presiden CAF, Patrice Motsepe menyifatkan pelantikan Artan ke Piala Super UEFA sebagai satu penghormatan besar bukan sahaja buat Somalia, malah seluruh benua Afrika.
“Ini adalah penghormatan besar buat Omar Artan dan juga pengadil-pengadil Afrika. Ia membuktikan bola sepak mampu menyatukan manusia merentasi benua dan sempadan,” katanya.
Artan sebelum ini menerima sambutan wira sebaik pulang ke Mogadishu dan berikrar akan kembali memburu peluang mengadili Piala Dunia 2030 selepas impiannya untuk tampil pada edisi 2026 tidak kesampaian. – AGENSI










