MEXICO CITY: Piala Dunia 2026 akhirnya membuka tirainya hari ini dengan aksi tuan rumah, Mexico menentang Afrika Selatan di Stadium Azteca awal pagi ini, namun kejohanan terbesar dalam sejarah bola sepak itu bermula dalam suasana penuh kontroversi.
Buat pertama kali, 48 pasukan akan bersaing dalam kejohanan yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, dengan saingan dijadual berlangsung selama hampir enam minggu sebelum final di Stadium New York New Jersey pada 19 Julai depan.
Walaupun dijangka menjana pendapatan mencecah AS$13 bilion (RM55.2 bilion), Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerima kritikan hebat susulan harga tiket yang melambung tinggi sehingga ada yang mencecah lebih AS$30,000 (RM127,000).
Selain isu harga tiket, kejohanan itu turut dibayangi masalah visa apabila beberapa pegawai pasukan Iran, penyokong dan pengadil dari Somalia dilaporkan tidak dibenarkan memasuki Amerika Syarikat.
Presiden FIFA, Gianni Infantino bagaimanapun mempertahankan penganjuran kejohanan tersebut dengan menegaskan pihaknya telah melakukan yang terbaik dalam memastikan semua urusan berjalan lancar.
“Kadangkala ada perkara yang berada di luar kawalan kita. Kami cuba menyelesaikan segala isu yang timbul dan memastikan kejohanan ini berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos mengingatkan anak buahnya supaya tidak terpengaruh dengan sorakan lebih 85,000 penyokong Mexico yang dijangka memenuhi Stadium Azteca pada perlawanan pembukaan.
Sementara itu, England menutup kempen persiapan mereka dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Costa Rica menerusi jaringan Declan Rice, Anthony Gordon dan Ollie Watkins, manakala Sepanyol, Perancis serta England terus dilabel antara calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia kali ini.










