Kes insiden kanak-kanak Autisme: Pusat Intervensi boleh disita

Kes insiden seorang kanak-kanak Autisme: Pusat Intervensi boleh disita 

RINA MOHD. HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius insiden seorang kanak-kanak Autisme yang tular dalam media sosial akibat dikasari dan disyaki didera oleh seorang pengurus di sebuah Pusat Intervensi Autism di Bandar Baru Ampang, Selangor. 

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak OKU, beliau menzahirkan rasa terkilan dan dukacita dengan perbuatan pengendali pusat intervensi berkenaan yang seharusnya lebih peka dan sensitif dengan keperluan anak-anak berkeperluan khas. 

“Saya berkehendakan agar perkara ini disiasat segera dengan teliti, dan hukuman tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang, di samping menjadi peringatan kepada pusat-pusat jagaan dan pusat intervensi kanak-kanak di negara ini.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan sehingga menjejaskan kehidupan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina berkata, kementerian terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mana-mana orang yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang boleh menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, sebagai tindakan responsif kepada isu ini, beliau telah mengarahkan agar KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan penguatkuasaan bersesuaian seperti mana tertakluk di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) kepada pusat intervensi berkenaan. 

“Dalam hubungan ini, tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil iaitu tindakan LAK atau menyita seperti di bawah seksyen 16A(1) Akta 506, selain pengendali pusat itu boleh didakwa dan dikompaun seperti yang termaktub dalam Seksyen 21 dan 21A Akta 506,” katanya. 

Beliau berkata, tindakan intervensi dari sudut psikososial dan kaunseling juga akan turut diberikan para kaunselor berdaftar kepada ibu bapa dan kanak-kanak terlibat demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan emosi kanak- kanak serta keluarga tidak terjejas dan terpelihara. 

Dalam masa sama, katanya, beliau juga ingin menasihatkan kepada ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan anak-anak agar mendapatkan perkhidmatan tersebut yang berdaftar dengan JKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya