JERANTUT: Ibadah umrah seorang peneroka di Felda Jengka 24 di sini pada bulan Februari lalu cukup bermakna apabila ketika berada di Tanah Suci, dia dihubungi oleh isterinya, Halijah Abd. Jalil, 63, memaklumkan bahawa mereka dapat panggilan menunaikan haji tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Razak Daud, 64, berkata, ketika itu, tiada apa yang mampu diungkapkan selain rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana impian menunaikan ibadah haji akhirnya tercapai.
“Sebenarnya ketika terima berita itu perasaan saya bercampur baur juga. Apabila diingat kembali, saya baharu teringat ketika mula mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) pada awal tahun 80an di usia awal 20an, saya dimaklumkan kemungkinan saya pergi haji pada 2024.
“Setelah lebih 30 tahun, saya hampir lupa saya akan dapat panggilan haji tahun ini, jika tidak mungkin saya tidak pergi tunai umrah pada Februari lalu, tapi alhamdulillah ia merupakan rezeki saya dan isteri kami dapat panggilan serentak,” katanya di sini hari ini.
Razak berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memudahkan urusan baginya menunaikan ibadah haji tahun ini.
“Saya sepatutnya daftar dengan TH pada 6 Februari lalu, tapi pulang ke Malaysia dari menunaikan umrah pada 10 Februari lalu. Lewat empat hari dari tarikh diberikan.
“Saya diminta mengemukakan rayuan kerana lewat mendaftar, alhamdulillah rezeki Allah SWT, rayuan saya diterima dan saya dapat menunaikan haji pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, dia bersyukur kerana bukan sahaja akan menunaikan haji bersama isterinya, malah bapa mertuanya, Abd. Jalil Mat, 87, juga akan berangkat ke Tanah Suci pada 22 Mei ini.
“Saya dan isteri tidak tahu bapa mertua akan menunaikan haji bersama. Isteri daftar awal pada 6 Februari lalu kerana dia tidak pergi umrah bersama saya. Ketika daftar di TH Bandar Pusat Jengka, dia terserempak dengan bapanya dan terkejut.
“Apabila ditanya, bapa mertua saya maklum dia pun dapat panggilan menunaikan haji tahun ini. Ia suatu yang kami tidak sangka dan syukur ke hadrat Allah SWT,” katanya.
Menurutnya, bapa mertuanya juga tidak menyangka pada usia mencecah 88 tahun akan mendapat panggilan ke Tanah Suci.
“Walaupun usianya agak lanjut tetapi tahap kesihatan bapa mertua sangat baik, tiada penyakit. Dia juga tidak menyangka akan menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci kerana dia ingat mungkin tak dapat pergi sehingga akhir hayatnya,” katanya.
Razak dalam pada itu berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana memberikan sumbangan RM750 seorang kepada bakal jemaah haji tahun ini.
“Kami berterima kasih kepada Menteri Besar kerana memberikan sumbangan yang sudah tentu meringankan beban perbelanjaan ketika di Tanah Suci nanti,” katanya yang akan berangkat ke Tanah Suci, 22 Mei ini. – UTUSAN










