KUALA PILAH: Perdana Menteri mengingatkan semua pihak termasuk parti yang bertanding supaya tidak menjadikan isu berkaitan institusi diraja di negeri ini sebagai modal politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu menghormati sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi antara tonggak utama Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengheret Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin ke dalam kempen politik.
Menurutnya, segala keputusan yang melibatkan institusi diraja perlu berpandukan Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Saya mahu jelaskan supaya perkara ini jangan dijadikan mainan politik. Kita mesti memuliakan sistem diraja kerana ia adalah salah satu tonggak Perlembagaan negara.
“Apa juga keputusan mesti berlandaskan hukum Perlembagaan dan undang-undang. Selagi sistem itu tidak berubah, kita wajib menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRN Negeri Sembilan Pakatan Harapan (PH) di Dataran Melang, di sini, malam ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, beliau tidak bersetuju sama sekali sekiranya institusi diraja dijadikan bahan polemik politik kerana perkara itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem Raja Berperlembagaan.
“Jangan gunakan isu ini kerana ia tidak relevan dalam pilihan raya. Bukan soal takut atau bimbang, tetapi tugas kita ialah mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan negara.
“Kalau kita mula jadikan perkara ini sebagai isu politik, ia tidak akan ada penghujungnya,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman atau menuduh pihak lain demi meraih sokongan politik.
Beliau dalam pada itu menegaskan, kerajaan yang dipimpinnya tetap berpegang kepada prinsip Perlembagaan termasuk mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
“Saya mohon kita bertempur dalam politik secara sihat. Tidak perlu memfitnah atau menghina orang lain kerana kaum dan agama. Malaysia ialah negara berbilang kaum dan kita mesti terus mempertahankan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.-UTUSAN.










