Pukul 2 pagi redah banjir ke PPS di Temerlok, Trong

Pukul 2 pagi redah banjir ke PPS di Temerlok

SALAMIAH Johari antara penduduk yang dipindahkan di PPS SK Temerlok setelah kediamannya dilanda banjir di Trong, Bukit Gantang, Perak, hari ini. - FOTO/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Seramai 61 orang daripada 19 keluarga dipindahkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Temerlok, Trong dekat setelah kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak pukul 4 petang semalam.

Mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok dan PPS Surau Nurul Hidayah di sini dan mula berpindah ke PPS itu pada pukul 2 pagi tadi.

Penduduk yang terlibat mendakwa, banjir berpunca dari ban tebing Sungai Temerlok yang rebak, menyebabkan air sungai melimpah masuk hingga ke kampung mereka.

Penduduk, Basri Shafie, 51, berkata, banjir yang berlaku kali ini adalah yang pertama disebabkan ban tebing sungai rebak.

“Kawasan Kampung Temerlok ini sudah tiga kali mengalami banjir namun ini pertama kali berpunca daripada ban tebing yang rebak.

“Penduduk berharap pihak yang berkenaan memberi perhatian terhadap masalah ini dengan membaik pulih tebing sungai yang rebak itu bagi mengelak banjir,” katanya.

Dia ditemui pemberita ketika meninjau kawasan ban tebing yang rebak di Trong, dekat sini hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Roszaidi Zakaria, 50, berkata, dia menyedari air masuk ke dalam rumahnya pada pukul 7 petang semalam.

Katanya, sebelum ini hujan lebat berterusan mulai pukul 4 petang semalam dan air mula masuk ke dalam rumah sebelum waktu Maghrib.

“Air masuk dari arah belakang rumah, pada mulanya perlahan dan kemudian semakin laju, naik hingga paras lutut.

“Saya dan ahli keluarga hanya sempat mengangkat peralatan rumah yang ringan ke tempat tinggi namun tidak sempat mengangkat peti sejuk dan mesin basuh disebabkan air naik begitu cepat,” katanya.

Warga emas, Salamiah Johari, 82, berkata, dia hanya menyedari air masuk ke dalam rumahnya setelah diberitahu oleh anak jirannya.

“Saya tak sempat memindahkan apa-apa peralatan rumah kerana tinggal seorang diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN