Proses penilaian jadi punca benih padi lewat dihantar

Proses penilaian jadi punca benih padi lewat dihantar

AHMAD Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada seorang Usahawan Agro MADA pada Program Bisnes Menjadi ‘Mempelbagaikan Pendapatan Usahawan' di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kelewatan penghantaran benih padi sah kepada lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis berlaku kerana benih terbabit perlu dihantar ke makmal Jabatan Pertanian bagi proses penilaian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, benih padi yang dikeluarkan oleh pembekal perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan kualitinya sebelum pengesahan dapat dibuat.

Menurutnya,  pihak makmal pula mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bagi melakukan beberapa ujian seperti tahap kelembapan, kemampuan percambahan dan ketulenan biji benih berkenaan.

“Kita terima hakikat memang ada sedikit kelewatan berlaku dalam pengedaran benih padi sah kepada pesawah mengikut jadual dan fasa ditetapkan berikutan tempoh rehat antara musim penanaman pertama dan kedua yang terlalu singkat.

“Pengilang menghasilkan benih padi pada waktu rehat berkenaan dan ia perlu dihantar ke Jabatan Pertanian bagi proses ujian sebelum disahkan dan dihantar ke pemborong dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan seterusnya sampai kepada pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Bisnes Menjadi ‘Mempelbagaikan Pendapatan Usahawan’ di Ibu Pejabat MADA, di sini hari ini.

Selasa lalu, Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain mendakwa lebih 50,000 pesawah yang mengusahakan tanaman padi seluas 100,000 hektar di kawasan MADA menghadapi masalah kelewatan bekalan benih padi sah sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, kelewatan bekalan benih padi tersebut menyebabkan pesawah tidak dapat mengikut jadual penanaman padi yang ditetapkan termasuk mengelakkan musim hujan dan kemarau.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, proses pengagihan benih padi sedang dilakukan oleh pihak pengedar dan kerajaan memberi jaminan bekalan tersebut mencukupi.

“Saya sudah melawat kilang pengeluar benih padi antara terbesar dan mendapati bekalan benih berkenaan bagi musim tanaman ini adalah cukup, malah berlebihan daripada keperluan pesawah.

“Cuma ada masalah pada pengeluaran varieti MR297 yang menjadi kegemaran pesawah kerana kita kalau boleh tidak mahu hanya satu varieti sahaja digunakan, sebaliknya pesawah boleh menanam varieti lain yang setanding MR297,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya