LANGKAWI: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memastikan usaha mempromosi destinasi pelancongan di semua lokasi menarik dilakukan secara adil dengan hanya tidak menumpukan kepada pulau peranginan ini sahaja.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha tersebut perlu melibatkan semua lokasi pelancongan seterusnya menjana pendapatan pemain industri dan penduduk di kawasan terlibat.
“Kalau semuanya bertumpu di Langkawi, Langkawi pun tidak mampu juga (hendak menampung kemasukan pelancong).
“Jadi saya fikir kita perlu berlaku adil kepada pelancong sekiranya mereka ingin berkunjung ke tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Gabungan Keselamatan Pelancongan (TSAM) bagi memastikan perjalanan selamat kepada pengembara dan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan serta program perniagaan di peringkat pasaran global di sini hari ini.
MoU tersebut melibatkan Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta Malaysia Aviation Group (MAG).
Menurutnya, pihaknya juga menyediakan pakej rangsangan kepada syarikat penerbangan bagi memberikan potongan harga untuk pembelian tiket kapal terbang bagi menggalakkan pelancongan domestik.
“Kementerian turut memberikan baucar potongan harga bagi pembelian barangan kraf dan pakej pelancongan bagi menjana semula ekonomi di destinasi pelancongan di seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN










