PRN Melaka: Pas optimis MN, PN bersatu sebelum penamaan calon - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Pas optimis MN, PN bersatu sebelum penamaan calon

AHMAD Samsuri Mokhtar (dua, dari kanan) bersama Hamzah Zainudin dan Mohd. Rafiq Naizamohideen dalam Majlis Pelancaran Gempur PN Melaka,  semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas optimis gagasan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN)menuju penyatuan sebelum hari penamaan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 8 November ini.

Naib Presiden Pas,  Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, MN dan PN adalah dua entiti penting dalam negara, malah masing-masing mempunyai peranan yang perlu dipertahan serta  diperkukuhkan.

“Ini menunjukkan MN dan PN perlu terus bersatu-padu di samping bekerjasama bukan hanya dalam pilihan raya umum (PRU) malah di PRN,” katanya dalam hantaran di laman Facebook di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka turut berkongsi gambar semasa Majlis Pelancaran Gempur PN Melaka yang disertai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin di samping Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.

Yang turut hadir tiga Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan Datuk Dr. Radzi Jidin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh PRN Melaka bagi mengisi kekosongan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula memberi bayangan yang Barisan Nasional (BN) tidak akan bersendirian dalam mengharungi PRN itu, sekali gus mendedahkan pelbagai pihak telah tampil menyatakan hasrat bekerjasama dan parti itu sentiasa berfikiran terbuka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN