PRN Melaka: Gabungan Teksi letak calon pemandu, pengasas pelbagai persatuan lori - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Gabungan Teksi letak calon pemandu, pengasas pelbagai persatuan lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) mengesahkan akan meletakkan sekurang-kurangnya seorang calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

GTSM yang akan turun gelanggang dengan nama Penyatuan Pemain Industri Perkhidmatan dan Pengangkutan Darat (PPDM) memberitahu, calon berkenaan bukan daripada golongan ‘kayangan’ malah kawasan yang mahu ditandingi juga belum ditentukan lagi.

Yang Dipertuanya, Kamaruddin Hussain berkata, pihaknya akan meletakkan seorang pemandu lori dan pengasas kepada pelbagai persatuan lori untuk mewakili dan meneraju gerakan perubahan itu.

“Sudah tiba masa untuk kita menukar dan memberi nafas baharu kepada pentadbiran negara, rakyat perlu meletakkan seseorang yang pernah menghadapi masalah dan isu sendiri bukan seseorang yang hanya mempunyai pendidikan.

“Seorang pemimpin yang baik adalah seorang yang mempunyai pengalaman, ihsan kepada rakyat dan ilmu, orang itu yang seharusnya diangkat oleh rakyat untuk mewakilkan mereka dalam menyelesaikan masalah.

“Dengan penyertaan kami di PRN Melaka, kami harap mesej kami sampai ke rakyat, sudah cukup kita merayu pada mereka yang tidak menghiraukan suara kita, tiba masanya kita sendiri mentadbir. Kami tahu gerakan ini masih baharu, namun jika kami mendapat 100 undian itu sudah memadai kerana kemenangan bukan apa yang kami cari, kami ingin mesej sampai kepada rakyat dan PRN Melaka menjadi permulaan mesej itu,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Menurut laporan baru-baru ini, GTSM menyatakan hasrat bertanding PRN Melaka untuk membawa satu perubahan dengan mengangkat pemain industri untuk duduk di kerusi yang sepatutnya berbanding ahli politik.

Kamarudin berkata, kawasan yang bakal ditandingkan masih tidak ditentukan lagi, namun pihaknya akan berbincang dan membuat keputusan sebelum hari penamaan calon untuk PRN Melaka.

“Rakyat harus keluar daripada kepompong dan memilih individu lebih dekat dengan rakyat bukan seorang yang hanya tahu bercakap, bila sudah menang hilang begitu saja, rakyat hanya dapat harapan palsu daripada mereka,” katanya.

Tambahnya, rakyat perlu menyatakan sokongan kepada GTSM kerana mereka juga adalah rakyat biasa yang ingin membawa nafas baharu kepada sistem pentadbiran negara, yang jelas lebih dekat dengan pengundi.

“Sesuatu yang sukar bukan sesuatu yang mustahil jika kita bekerjasama untuk melakukan transformasi baharu, bangkit dan buang segala harapan palsu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya