PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melaksanakan pelarasan prosedur operasi standard (SOP) untuk berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pelaksanaan SOP dibuat selepas Kementerian Kesihatan menetapkan beberapa larangan termasuk berhimpun sepanjang berlangsungnya PRN Melaka.
Malah, beliau dalam masa yang sama turut mengaku SOP yang ditetapkan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kelancaran kempen calon yang bertanding, namun terpaksa akur dengan ketetapan tersebut.
“Sudah tentu (larangan berhimpun) akan mengganggu aktiviti kempen seperti sedia kala, jadi kita terpaksa buat pelarasan.
“Tapi pelarasan harus memberi kesamarataan kepada semua dan tidak hanya melibatkan satu parti kerana SOP terpakai kepada semua ketika PRN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi berhubung kenyataan dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.
Khairy dilaporkan berkata, SOP yang bakal diumumkan SPR terpakai waktu kempen bermula membuatkan KKM khuatir ada banyak majlis politik sebelum itu yang tidak mematuhi SOP.
Mengulas lanjut, Ronald Kiandee berkata, apa sahaja SOP dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) wajar dipatuhi sebagaimana yang telah dilaksanakan sejak hampir dua tahun negara berdepan pandemik Covid-19.
“Saya rasa kita perlu akur kepada SOP. Sejak 2 tahun lalu, kita sentiasa patuh dan mengikuti apa sahaja SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan.
“Jadi tiada beza ketika berhadapan dengan Pilihan raya tentu sekali semua pihak perlu akur apa sahaja SOP ditetapkan,” katanya. – UTUSAN











