Premis cemar Sungai Remok dikompaun - Utusan Malaysia

Premis cemar Sungai Remok dikompaun

PETUGAS LUAS bersama agensi berkaitan menjalankan pemantauan di Sungai Remok di Hulu Selangor, Selangor yang tercemar akibat operasi daripada sebuah premis jalankan kerja berkaitan pertanian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilik sebuah premis kerja-kerja pertanian yang terletak berhampiran Sungai Remok di Hulu Selangor di sini, dikenakan kompaun oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) kerana menyebabkan pencemaran di sungai berkenaan, baru-baru ini.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, punca pencemaran itu dikesan ketika tinjauan dilakukannya bersama MDHS dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) untuk menyiasat insiden berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati, wujud aktiviti kerja tanah melibatkan kawasan seluas 8.9 hektar di hulu Sungai Remok melibatkan tanah milik berstatus persendirian.

“Semakan mendapati kelulusan kebenaran merancang (KM) daripada MDHS diperoleh bagi tujuan tapak penanaman sayur berserta struktur rumah hijau sementara, namun tiada pelan kerja tanah.

“Maka tindakan kompaun di bawah Seksyen 70 A (1) Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 (Akta 133) kepada pemilik premis kerana menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, persampelan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di lokasi itu turut mendapati, kerja tanah yang terdedah di kawasan itu berisiko menyebabkan peningkatan kekeruhan sekiranya hujan lebat dan tiada langkah kawalan sedimen yang efisien.

LUAS turut mengeluarkan Perintah Perlindungan Air berdasarkan Seksyen 122 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik premis untuk menghentikan sebarang pelepasan pencemaran ke Sungai Remok.

“Kegagalan pematuhan perintah ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara untuk tempoh tidak melebihi satu tahun atau keduanya sekali. Denda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan,” tegasnya.

Tambah Loy Sian, tiada henti tugas operasi Loji Rawatan Air (LRA) susulan insiden itu dan kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan jenayah alam sekitar.

“Kerajaan negeri dan LUAS menyeru agar semua pihak prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya