Polis Perak bantu jejaki dua beranak kes salah guna nama TMJ

Polis Perak bantu jejaki dua beranak kes salah guna nama TMJ

MIOR Faridalatrash Wahid (kiri) menyerahkan sumbangan kepada R. Letchumi di Lahat, Ipoh, hari ini. - FOTO/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak akan membantu menjejaki dua beranak yang dikehendaki Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berhubung pemalsuan dokumen mengguna nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, setakat ini polis negeri ini belum dapat mengesan dua beranak itu.

“Kita akan bantu (IPK) Johor menjejaki dua beranak itu tapi setakat ini kita belum dapat mengesan mereka. Kita akan dapatkan maklumat daripada pihak polis Johor mengenai dua beranak ini.

“Mengenai alamat terakhir mereka di Silibin, kita tiada maklumat mereka tinggal di situ, jika ada kita sudah ‘pick up’ mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat wartawan akhbar Makkal Osai, R. Letchumi yang diserang angin ahmar di Lahat, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sedang menjejaki dua beranak berhubung kes melibatkan pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang menyalahgunakan nama Tunku Ismail.

Mereka ialah M. Parameswaran, 64, dan anaknya P. Kuganathan, 34, yang beralamat terakhir di Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin di sini.

Katanya, kedua-dua mereka mendakwa pernah bekerja di Istana Johor.

Sementara itu, mengenai kritikan terhadap polis yang menerima sumbangan pelindung muka daripada pertubuhan Freemasons baru-baru ini, Mior Faridalatrash berkata,  pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada organisasi termasuk yang menghargai tugasan harian petugas barisan hadapan. 

“Bagi saya sumbangan itu tiada masalah, siapa-siapa boleh bagi sumbangan kepada pihak kita. Dia bagi sumbangan face shield kepada polis dan tiada masalah, bukan kita ikut fahaman dia,” katanya.

Pada 15 Oktober lalu, Persatuan Kebajikan Bintang Utara yang mewakili pertubuhan Freemasons menyalurkan 5,000 pelindung muka kepada PDRM dalam majlis yang berlangsung di ibu pejabat polis di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya