PN Melaka muktamad agihan kerusi minggu ini - Utusan Malaysia

PN Melaka muktamad agihan kerusi minggu ini

MOHD. RAFIQ Naizamohideen bercakap kepada pemberita selepas mengadakan ziarah kasih di Kampung Tanah Merah, Krubong, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) Melaka akan memuktamadkan rundingan kerusi bersama parti komponennya minggu ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusinya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.

Beliau berkata, setakat hari ini, kira-kira 50 peratus daripada proses rundingan telah mencapai kata sepakat dan bakinya dijangka selesai dalam masa terdekat. 

“Rundingan sedang berjalan antara pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). 

“Kita yakin pada minggu ini dapat memuktamadkan kerusi yang ditandingi ketiga-tiga parti komponen di bawah PN, malah kini lebih kurang 50 peratus rundingan telah selesai,” katanya selepas mengadakan ziarah kasih di Kampung Tanah Merah, Krubong di sini hari ini.

Semalam, UMNO memberi bayangan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bersendirian dalam mengharungi PRN Melaka, 20 November ini.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas, Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pelbagai pihak telah tampil menyatakan hasrat berkerjasama dan parti itu sentiasa berfikiran terbuka.

Sementara itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jalinan kerjasama politik antara PN dan BN di peringkat Persekutuan mampu dipraktikkan di Melaka, khususnya dalam PRN.

Dalam pada itu, Mohd. Rafiq yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, pihaknya juga telah menerima senarai calon daripada kesemua enam bahagian termasuk calon ‘orang muda’ sebagai persiapan menghadapi Undi18.

“Bahagian telah menghantar senarai calon masing-masing dan saya juga telah menerima senarai daripada Srikandi serta Armada (Angkatan Bersatu Anak Muda) untuk dipertimbangkan. 

“PN Melaka akan mengetengahkan calon-calon profesional yang mempunyai kredibiliti, karisma dan berpendidikan tinggi selaras dengan persiapan menghadapi Undi18 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya