Negeri Sembilan mahu giat penglibatan komuniti tempatan dalam pelancongan - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan mahu giat penglibatan komuniti tempatan dalam pelancongan

NICOLE Tan Lee Koon merakam gambar selepas merasmikan pameran pakej pelancongan, MATTA Fair Negeri Sembilan 2024 Kali Ke-27 yang diadakan di pusat beli-belah Palm Mall, Seremban yang bermula hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mahu penglibatan komuniti tempatan dalam keusahawanan pelancongan ataupun disebut sebagai local host digiatkan sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon, kerajaan negeri sedang berusaha ke arah itu dan kini sedang mengenal pasti komuniti yang aktif bagi tujuan itu supaya ia dapat dibantu dan diberikan sokongan.

“Sebagai contoh, produk Sky Mirror di Kuala Selangor, ia juga diusahakan oleh local host di sana yang agresif dan aktif kini ia begitu popular. Di negeri ini juga banyak tempat pelancongan yang menarik, saya harap local host yang ada di negeri ini ambil peluang, jika mereka aktif sudah tentu kami bantu dan akan memudah cara.

“Kami sedang kenal pasti komuniti yang aktif, antaranya di Kampung Lonek, Jempol, mereka dengan inisiatif sendiri telah mengadakan ekosistem pelancongan yang bagus. Pelancong yang menginap di situ boleh menikmati makanan tradisional selain mereka boleh dibawa menaiki tram untuk membeli produk IKS tempatan selain produk kraftangan buluh yang ada di situ, ia perlu diteladani oleh local host yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pameran pakej pelancongan, MATTA Fair Negeri Sembilan 2024 Kali Ke-27 yang diadakan di pusat beli-belah Palm Mall di sini bermula hari ini.

Yang hadir sama, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong dan Pengerusi MATTA Negeri Sembilan, Lee Fook Moi.

Dalam pada itu, Nicole Tan memberitahu, promosi produk pelancongan di Negeri Sembilan perlu dipergiatkan lagi supaya orang ramai mengetahui tentang adanya produk-produk pelancongan lain di negeri ini selain pantai peranginan Port Dickson.

“Dalam video-video pelancongan termasuk oleh agensi kerajaan ada menayangkan produk pelancongan di Selangor, Kuala Lumpur namun terus ke Melaka tanpa menayangkan apa yang di Negeri Sembilan. 

“Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan kita ambil langkah untuk mempergiatkan lagi promosi, bukan hanya pihak berwajib sahaja namun semua pihak yang mencintai negeri ini boleh membantu menaikkan sektor pelancongan di negeri ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Fook Moi memberitahu, seramai 18,000 pengunjung disasarkan hadir sepanjang tiga hari penganjuran MATTA Fair Negeri Sembilan 2024 Kali Ke-27 yang bermula hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan nilai jualan mencecah RM15 juta pada pameran yang melibatkan penyertaan kira-kira 27 syarikat agensi pelancongan dan taman tema itu.

“Pada penganjuran terakhir pada bulan November tahun lalu, seramai 12,000 pengunjung yang hadir jadi saya harap kali ini 18,000 pengunjung yang datang dan ramai membeli pakej yang disediakan.

“Tahun lepas juga kami dapat nilai jualan sehingga RM8 juta dan kali ini saya harap mencecah RM15 juta, itu sasarannya yang turut dibantu dengan jualan pakej-pakej umrah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN