PN Melaka hadapi PRN tanpa UMNO? - Utusan Malaysia

PN Melaka hadapi PRN tanpa UMNO?

MOHD. RAFIQ Naizamohideen (tengah) menjawab soalan pemberita ketika sidang akhbar selepas perasmian Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Japerun Serkam, Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) Melaka mampu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa bantuan atau kerjasama UMNO. 

Pengerusinya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menegaskan, pihaknya yakin gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mampu membentuk kekuatan sendiri atas tiket PN. 

Bagaimanapun, beliau berkata, PN tetap menghormati pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu bersendirian melalui platform Barisan Nasional (BN).

“Bersatu dan PN menghormati pendirian Presiden UMNO yang mengatakan tidak akan bekerjasama dengan kita. 

“Kita sebenarnya tidak bersendirian. Kita ada PN yang ada lima parti dan di peringkat Semenanjung, ada tiga buah parti iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas perasmian Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Serkam di sini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa, tiada keputusan kerjasama antara UMNO dan Bersatu dalam PRN Melaka.

Beliau menjelaskan, selagi tiada perbincangan rasmi antara Badan Perhubungan UMNO negeri dengan Biro Politik, maka belum ada keputusan terhadap kerjasama tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Rafiq menambah, PN juga menghormati proses demokrasi dan Perlembagaan, sekiranya kerajaan Pusat memutuskan untuk tetap mengadakan PRN. 

“Kita akan akur segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Sudah tentu segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan akan mengambil kira faktor kesihatan ataupun pandemik Covid-19 ini.

“Namun begitu, sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengadakan juga pilihan raya, kita menghormati keputusan itu akan menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) atau PRN pada kali ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN