PM sendiri bantu Wan Nur Atierah - Utusan Malaysia

PM sendiri bantu Wan Nur Atierah

WAN Khairul Ihsan Wan Mohamad (kanan) menyampaikan bantuan kewangan kepada Wan Nur Atierah Wan Mohd. Nasrom di Kampung Bendang Pulau Palekbang, Tumpat, Kelantan,  hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pelajar Wan Nur Atierah Wan Mohd. Nasrom, 19, yang kisahnya terpaksa menangguhkan pengajian akibat kemiskinan tular baru-baru ini, terkedu apabila menerima bantuan kewangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Wan Nur Atierah berkata, tiada kata dapat digambarkan apabila Perdana Menteri sendiri berbuat demikian bagi memastikan dia dapat meneruskan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas mendapat tawaran pada 24 September lalu.

Pada mulanya, kata gadis itu, dia membuat keputusan menangguhkan hasrat menyambung pengajian ke UPSI kerana tidak sempat mengumpul wang bagi menampung perbelanjaan diperlukan iaitu RM1,596.

“Namun saya dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan membantu menguruskan kemasukan ke UPSI mengikut jurusan ditawarkan iaitu Sarjana Muda Perniagaan selama empat tahun bermula 11 Oktober ini.

“Saya rasa bertuah dan bersyukur mendapat perhatian Perdana Menteri sendiri. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bendang Pulau Palekbang, di sini hari ini.

Terdahulu Wan Nur Atierah dan keluarganya menerima kunjungan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Wan Khairul Ihsan Wan Mohamad yang turut menyampaikan bantuan wang tunai kepada mereka.

Turut berlangsung, sesi panggilan video bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri,  Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohamad memaklumkan hasrat Ismail Sabri bagi membantu Wan Nur Atierah.

Yang hadir sama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Mohd. Nazeli Mohd. Nawi.

Wan Nur Atierah anak kedua daripada tiga beradik yang juga bekas penuntut Kolej Matrikulasi Arau, Perlis, berazam mahu belajar bersungguh-sungguh supaya dia dapat mengubah nasib keluarganya satu hari nanti.

Sementara itu, Wan Khairul Ihsan berkata, sumbangan kepada Wan Nur Atierah adalah tanda keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat yang memerlukan bantuan.

Wan Nur Atierah turut mendapat berita gembira apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membiayai kos pengajian remaja itu bagi semester pertama. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN