MELAKA: Seorang pesara guru berusia 76 tahun membuktikan umur bukanlah penghalang untuk berjaya, apabila berjaya menggenggam segulung ijazah daripada Open University Malaysia (OUM).
Saleha Salleh, bekas guru Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Husin adalah pelajar sepenuh masa dan graduan tertua di universiti berkenaan menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam (Pengurusan Islam) pada Majlis Konvokesyen OUM Ke-25 di Bukit Palah di sini, baru-baru ini.
Semangat juangnya begitu tinggi pada usia emas, walaupun terpaksa mengambil masa selama enam tahun untuk menamatkan pengajian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Saleha berkata, kejayaannya tersebut bagaikan sebuah mimpi menjadi realiti, selepas berjaya bergelar graduan.
“Pencapaian saya ini adalah hasil sokongan suami dan empat orang anak. Apabila saya ambil keputusan untuk menyambung pengajian ketika berusia 70 tahun, anak-anak pada mulanya anggap hasrat saya sekadar main-main.
“Tetapi melihat kesungguhan saya, akhirnya semua menyokong malah mereka juga menjadi pemandu untuk membawa saya ke kuliah, perpustakaan dan sewaktu menyiapkan tesis,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Saleha menambah, sepanjang tempoh enam tahun pengajian, dia melalui terlalu banyak cabaran terutama apabila pandemik Covid-19 melanda.
Jelasnya, situasi berkenaan menyebabkan universiti ditutup, lantas menyukarkannya menghadiri kuliah dan menggunakan perpustakaan.
“Dugaan paling mencabar apabila cuba menyiapkan tesis bertajuk, Peranan masjid dalam perkembangan dakwah dan pelancongan domestik di Melaka: Kajian kes di Masjid Selat. Perpustakaan juga ditutup sementara akibat Covid-19.
“Alhamdulillah, semangat saya begitu kuat dan tidak putus asa kerana sejak menjadi guru memang saya suka belajar,” ujarnya. – UTUSAN










