Pertimbang benarkan pelajar SPM kembali ke sekolah tanpa penggiliran - Utusan Malaysia

Pertimbang benarkan pelajar SPM kembali ke sekolah tanpa penggiliran

TAMPIN 18 Okt.- RADZI Jidin, beramah mesra dengan murid sekolah ketika mengadakan lawatan ke SK Tengku Zainun, Tampin hari ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Kementerian Pendidikan sedang mengkaji kesesuaian membenarkan pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kembali semula ke sekolah tanpa melalui proses penggiliran.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Kesihatan bagi memantau kadar vaksinasi dalam kalangan murid tingkatan lima.

Kata beliau, secara keseluruhannya lebih 97 peratus pelajar tingkatan lima menerima dos pertama manakala sekitar 50 peratus menerima dua dos lengkap vaksinasi.

“Mungkin kami pertimbangkan untuk tidak adakan penggiliran dan dimulakan dengan pelajar kelas peperiksaan terlebih dahulu sepertimana yang kita laksanakan untuk pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tempoh hari.

“Namun, memandangkan jumlah yang besar (pelajar tingkatan lima), kami sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan untuk melihat kadar vaksinasi yang membolehkan pelajar tingkatan lima dibawa masuk tanpa penggiliran,” katanya semasa melawat Sekolah kebangsaan (SK) Tengku Zainun, di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid.

Menurut Radzi, secara keseluruhannya, seramai 360,500 orang iaitu bersamaan 97 peratus pelajar berusia 12 tahun ke atas menerima satu dos vaksin Covid-19 manakala seramai 215,373 pelajar bersamaan 57.9 peratus telah lengkap menerima dua dos.

Bagi pelajar tingkatan lima pula, seramai 371,696 orang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 142,655 pelajar iaitu bersamaan 57.9 peratus engkap menerima dua dos vaksin.

Sementara itu, beliau memberitahu, kehadiran pelajar ke sekolah bagi sesi bersemuka berjalan baik dan jumlah kehadiran juga memberangsangkan.

“Secara keseluruhannya,  apabila kita sudah buka Langkawi, Labuan dan Negeri Sembilan iaitu negeri di Fasa 4, secara keseluruhannya terdapat sebanyak 340,000 murid di seluruh negara yang memulakan sesi persekolahan bersemuka.

“Ini satu proses berperingkat yang dilaksanakan kemasukannya sedikit demi sedikit bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan dengan baik.

“Jika ada tambah baik yang perlu dibuat, kami boleh tambah baik SOP sebelum kumpulan berikutnya mula memasuki sekolah,” katanya lagi.

Seramai 339,951 pelajar layak hadir ke sekolah bermula semalam dan hari ini dan jumlah yang layak hadir di Negeri Sembilan ialah seramai 51,193 orang melibatkan 125 sekolah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya