PUTRAJAYA: Permohonan maaf Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, V. Ganabatirau disifatkan ramai pihak adalah tidak asli, tidak spesifik, tidak mencukupi dan seolah-olah hanya main-main sahaja.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, tindakan itu pun dibuat setelah didesak Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mempunyai lebih sejuta ahli yang menuntut Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor itu berbuat demikian kerana mengaibkan pegawai penjawat awam.
Berdasarkan rakaman video V. Ganabatirau, jelas sekali permohonan maaf beliau itu bukan dibuat atas kesedaran beliau sendiri, tetapi kerana ada pihak yang mahu beliau memohon maaf.
“Tidak dinyatakan dengan jelas permohonan maaf yang dibuat beliau ini ditujukan kepada siapa dan atas sebab apa.
“Permohonan maaf ini tidak disertakan pengakuan salah, sebaliknya beliau seolah-olah berkeras bahawa beliau tidak salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, pelbagai pihak mendesak V. Ganabatirau memohon maaf secara terbuka kerana memaki hamun pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang tidak berpuas hati dengan isu banjir di Taman Sri Muda, Selangor dan rakaman beliau mengeluarkan kata-kata kesat itu disebarkan pula melalui laman Facebook beliau sendiri.
Beliau kemudiannya menyalahkan seorang ahli akademik kerana memuat naik pula rakaman videonya itu ke dalam platform media sosialnya dan menuduh profesor berkenaan mengutuknya dengan macam-macam perkataan.
Kata Kamarul Zaman, paling tidak boleh diterima apabila permohonan maaf itu disertakan dengan ingatan berupa sindiran berbunyi: “Sama-sama kita bekerja dan membawa balik gaji dengan cara halal. Tuan, gaji yang kita terima biar halal. Wang ringgit yang kita bagi kepada anak bini kita biar halal. Kalau kita tak ikut kerja, tak buat kerja dengan baik, tak tahulah, tuan. Setahu saya kawan baik saya, tuan haji, ajar saya itu tak halal. Itu tuan haji bagitahu saya”.
“Sebenarnya sudah terlalu banyak insiden ahli-ahli politik yang dikecam hebat masyarakat kerana melakukan kesalahan-kesalahan tertentu yang terlepas begitu sahaja selepas mereka membuat permohonan maaf separuh masak.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menunjukkan ketegasan dengan tetap mengambil tindakan ke atas ahli-ahli politik begini bagi memberikan pengajaran kepada mereka supaya berfikir banyak kali sebelum melakukan perbuatan yang tidak patut di masa depan,” katanya. – UTUSAN










