Perjanjian dagangan ASEAN-India wajar lebih mesra perniagaan - PM - Utusan Malaysia

Perjanjian dagangan ASEAN-India wajar lebih mesra perniagaan – PM

ISMAIL Sabri Yaakob dalam Sidang Kemuncak ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menyarankan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India sewajarnya dijadikan lebih mesra pengguna serta mudah untuk urusan sektor komuniti perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut amat perlu dikaji semula bagi memulihkan kembali kejatuhan teruk perdagangan dengan India sejak tahun lalu.

“India masih lagi kekal sebagai rakan dagangan ASEAN setelah sekian lama, tetapi pandemik Covid-19 menurunkan nilai perniagaan dua hala sekitar 14.9 peratus tahun lepas,” katanya.

Beliau berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-18 yang dipengerusikan oleh Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei dan dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi secara maya.

Hubungan blok serantau tersebut dengan India bermula pada 1992 dan kali ini persidangan itu lebih bermakna kerana tahun depan diraikan bersempena dengan tiga dekad persahabatan.

Lebih menarik, India walaupun terletak di rantau Asia Selatan, ia juga anggota Sidang Kemuncak Asia Timur kerana kepentingannya sebagai rakan perdagangan keempat terbesar ASEAN.

Ismail Sabri berkata, kedua-dua pihak sepatutnya memerlukan pergerakan ekonomi yang lebih pantas bagi meneroka potensi pemulihan semula pasca wabak Covid-19.

“Sehubungan itu, langkah segera bagi memudahkan birokrasi perjanjian bakal mempercepatkan semula proses pemulihan ekonomi dengan lebih berdaya tahan dan bersepadu,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menyentuh kepentingan kerjasama dalam transformasi digital dan ekonomi digital yang melonjak sejajar dengan trend norma baharu perniagaan seluruh dunia.

Jelas beliau, keutamaan bagaimanapun wajar diberikan kepada keusahawanan mikro, kecil dan sederhana dengan ASEAN dan India boleh menambah baik prasarana perhubungan siber.

Beliau turut menyentuh industri farmaseutikal India yang terkenal di peringkat sejagat dalam pengeluaran pelbagai dadah generik berkualiti tinggi pada kos efektif sejak Covid-19 muncul.

Justeru, Ismail Sabri percaya ASEAN dan India boleh meneroka kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan dan pengagihan vaksin secara efektif.

“Inisiatif sebegini akan menyumbang kepada usaha serantau dalam menangani pandemik semasa dan bersiap siaga untuk perkara kecemasan pada masa akan datang pula,” katanya.

Jelasnya, kerjasama ASEAN-India boleh dijayakan kerana kedua-dua pihak berkongsi nilai kepentingan yang sama termasuk dalam pelbagai isu panas melibatkan rantau Indo-Pasifik.

Malaysia bahkan jelas beliau, menyambut baik beberapa kerjasama yang dilaksanakan bersama ASEAN-India di bawah Inisiatif Indo-Pasifik diterajui mekanisme blok berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya