‘Pergi tanam dan buat kebun, itu kesalahan besarlah’ - Utusan Malaysia

‘Pergi tanam dan buat kebun, itu kesalahan besarlah’

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri belum menerima laporan terperinci daripada Jabatan Perhutanan Kelantan berhubung kewujudan kebun Musang King dan getah dalam Hutan Simpan Ulu Galas di Gua Musang, dekat sini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima maklumat awal mengatakan berlaku pencerobohan secara haram.

“Ikut maklumat itu, mereka menceroboh kawasan hutan simpan tanpa kebenaran dan menanam secara haram. Kalau pergi menanam, buat kebun, itu memang kesalahan besarlah.

“Berhubung perkara ini, pihak jabatan akan melaporkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan setakat ini kita memang belum dapat maklumat terperinci,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan, di sini hari ini.

Sementara itu Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah ketika dihubungi memberitahu, beliau akan bertemu Ahmad bagi membentangkan laporan tersebut sebaik sahaja selesai menghadiri mesyuarat di Pulau Langkawi.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan lebih 30 pekebun durian Musang King dan getah di Kampung Pulai merayu pertimbangan semula arahan pengosongan kebun seluas 90 hektar diusahakan kerana didapati mencerobohi Hutan Simpan Ulu Galas.

Notis dikeluarkan Jabatan Perhutanan amat mengejutkan kerana hanya selepas 25 tahun, barulah mereka diberitahu tanah kebun diusahakan selama ini termasuk dalam kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN