IPOH: Kerajaan negeri yakin kadar vaksinasi Covid-19 kepada rakyat di negeri ini telah melebihi 80 peratus walaupun data menunjukkan ia masih di bawah peratusan itu sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, ini berdasarkan jumlah penerima yang semakin kurang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini sejak kebelakangan ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kekurangan kadar itu kerana ramai di antara rakyat negeri ini telah mendapatkan vaksinasi di negeri-negeri jiran.
“Lebih 90 peratus penduduk dewasa negeri ini telah menerima dos pertama vaksin manakala lebih 70 peratus sudah menerima dos kedua.
“Ini secara tidak langsung bermaksud kita dapat mencapai kadar vaksinasi dalam masa terdekat.
“Angka ini juga menunjukkan Perak sudah mencapai peratus vaksinasi yang tinggi dan cuma datanya sedang dikemas kini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan projek menaiktaraf dewan serbaguna Manjoi di klinik sementara Manjoi di sini hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Menurut Mohd. Akmal, berikutan itu kerajaan negeri akan menutup semua 25 PPV di negeri ini secara berperingkat hingga hujung bulan ini.
“Apabila orang sudah tidak datang ke PPV, langkah paling strategik ialah kita mencari mereka yang belum divaksin, selain mempergiatkan kempen kesedaran tentang pentingnya vaksinasi.
“Jika PPV dibuka tetapi tiada orang yang datang, kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi. Apabila PPV ditutup, petugas-petugas kesihatan boleh kembali bekerja di klinik kesihatan masing-masing,” katanya.
Menurut Mohd. Akmal, kerajaan akan mencari mereka yang belum menerima divaksin.
“Jabatan Penerangan dan semua agensi akan mencari mereka yang belum divaksin selain mempergiat program jangkauan atau outreach bagi mereka yang belum ada kesedaran untuk divaksin,” katanya.
Sebelum ini, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mencatatkan lima negeri belum mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin iaitu Pahang, Kedah, Perak, Kelantan dan Sabah. – UTUSAN ONLINE










