Rezeki Jodoh Lebaran Imranul Effendy - Utusan Malaysia

Rezeki Jodoh Lebaran Imranul Effendy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon baharu, Imranul Effendy, semakin menjadi sebutan peminat hiburan tempatan selepas kejayaan karya lagu Jodoh Lebaran nyanyian Aisha Retno yang mencetuskan fenomena tersendiri.

Populariti yang diraih bukan sahaja memperkenalkan namanya kepada khalayak, malah membuka lebih banyak peluang dalam industri seni. Namun di sebalik sinar itu, Imranul tidak berselindung untuk mengakui perjalanan menembusi arena lakonan sebenarnya penuh liku dan cabaran.

Menurut Imranul, ramai mungkin melihat kejayaan pelakon sebagai sesuatu yang mudah, namun hakikatnya jalan untuk berada di posisi tersebut memerlukan usaha, kesabaran dan sokongan daripada orang sekeliling.

“Terus-terang, memang susah untuk menembusi bidang lakonan ini. Pada saya, bukan sekadar kita ada bakat atau kemahiran berlakon. Kita juga perlu dikenali dan ada orang yang boleh membawa kita ke hadapan.

“Kalau tiada rangkaian atau orang yang percaya kepada kita, memang agak sukar untuk kita pergi jauh dalam industri ini,” katanya.

Tambahnya, realiti industri hiburan menuntut seseorang bukan sahaja bekerja keras memperbaiki kemahiran, malah perlu bijak membina hubungan dan mencari ruang untuk menonjolkan diri.

“Kita kena kenal ramai orang, kena buat banyak ‘public relations’ dan sentiasa mencari peluang. Kalau tidak, walaupun ada bakat, orang mungkin tidak nampak. Itu yang saya lalui, dan saya masih belajar untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Imranul juga bersikap terbuka apabila mengakui bahawa lonjakan popularitinya ketika ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kejayaan Jodoh Lebaran, khususnya melalui gandingannya bersama Aisha Retno yang mendapat perhatian ramai.

Namun, dia memilih untuk melihat perkara itu sebagai satu kelebihan yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya memang akui, saya menumpang populariti yang ada. Tetapi saya gunakan peluang ini untuk buktikan kemampuan saya. Saya tidak mahu orang melihat saya sebagai hanya menumpang tanpa memberikan prestasi. Jadi setiap peluang yang datang, saya cuba berikan terbaik supaya orang nampak kesungguhan saya,” jelasnya.

Menariknya, perjalanan seni Imranul tidak bermula sebagai pelakon. Sebaliknya, dia memulakan langkah sebagai jurusolek kesan khas (SFX Makeup) sekitar tahun 2021 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Pengalaman itu menjadi asas penting dalam memahami dunia produksi sebelum dia melangkah sebagai pelakon.

“Saya bermula sebagai SFX Makeup kerana ketika itu saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak masuk ke dalam industri. Jadi, saya fikir itu platform terbaik untuk saya belajar dan memahami suasana di set. Saya buat selama dua tahun, dan dari situ saya mula rasa yakin untuk cuba bidang lakonan pula,” katanya.

Tambahnya, pengalaman di belakang tabir memberi kelebihan untuk memahami disiplin kerja di set penggambaran serta membentuk dirinya lebih bersedia apabila di hadapan kamera.
Selain itu, akui Imranul, kejayaan Jodoh Lebaran juga memperkenalkan dirinya kepada peminat yang mana, karya tersebut turut membuka ruang untuk lebih ramai pihak melihat potensi yang dimilikinya.

“Alhamdulillah, sejak Jodoh Lebaran jadi fenomena, saya dapat banyak pendedahan dan semakin ramai yang kenal. Saya anggap ini sebagai satu platform untuk orang melihat potensi saya, bukan sahaja dalam tarian tetapi juga dalam lakonan. Ini memang rezeki yang saya sangat syukuri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Imranul turut berkongsi bahawa jadualnya kini semakin padat dengan pelbagai aktiviti seni, termasuk persembahan tarian bersama Aisha yang sering menjadi permintaan peminat.

“Setakat ini, banyak undangan untuk saya menari bersama Aisha kerana orang memang mahu lihat kami bergandingan. Tetapi saya terbuka untuk bekerjasama dengan artis lain juga kerana saya memang minat berkarya dalam tarian,” katanya.

Walaupun begitu, dia menegaskan bahawa fokus utamanya kini adalah untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan. Antara projek yang telah diselesaikan penggambarannya termasuk Nar’sata: Sekutu Setan terbitan MIG di bawah arahan Piere Andre selain beberapa naskhah lain seperti Takluk 2: Ops Daulat dan Rahasia.

Dalam pada itu, Imranul juga menunjukkan sikap profesional apabila berdepan dengan perhatian peminat yang semakin meningkat. Baginya, melayan peminat adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang pelakon.

“Itu memang sebahagian daripada kerja sebagai pelakon. Kalau kita rasa rimas bila orang mahu bergambar, mungkin kita salah pilih kerjaya. Peminat sanggup datang dari jauh semata-mata untuk jumpa kita, jadi tidak salah untuk kita luangkan sedikit masa. Walaupun penat, kita tetap kena hargai mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN