KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wirda Viviana Zairi, 21, menghargai kehadiran peminat yang setiap minggu hadir ke konsert Talk To My Manager Musim Ke-2 (TTMM2) untuk memberi sokongan kepadanya.
Jelas Wirda, perkara itu mengingatkan dia kepada momen menyedihkan semasa dia ketiadaan peminat untuk memberi sokongan pada minggu pertama TTMM2.
“Saya gembira, bersyukur dan sebenarnya setiap kali habis konsert TTMM2, tak sabar nak berjumpa mereka selepas sesi interview dan sidang media.
“Hal ini kerana pada minggu pertama ibu berkata kita tak ada peminat, jadi boleh terus balik selepas sidang media.
“Memang terasa sedih juga ketika itu, kawan-kawa lain semua dah ke depan dengan ada peminat masing-masing, boleh buat kandungan media sosial walhal saya tiada yang memberi sokongan.
“Jadi saya amat bersyukur dan menghargai setiap peminat yang datang TTMM2 setiap minggu,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi Ani Mayuni berpangan kehadiran peminat untuk memberi sokongan kepada Wirda merupakan rezeki daripada Allah S.W.T.
“Masa awal dulu ketika dia (wirda) tiada peminat, saya pujuk dia dan bagi tahu kehadiran kita ke TTMM2 adalah untuk menyanyi dan menghiburkan. Ada peminat merupakan rezeki daripada Allah.
“Peminat itu bonus. Yang penting, tetapkan dalam fikiran bahawa anda hadir ke rancangan ini untuk belajar,” ujarnya.










