Anwar tekad pastikan Sabah, Sarawak nikmati pembangunan saksama

Anwar tekad pastikan Sabah, Sarawak nikmati pembangunan saksama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memastikan Sabah dan Sarawak menerima manfaat pembangunan secara adil dan berterusan selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat di kedua-dua wilayah itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur asas serta peningkatan taraf hidup rakyat.

Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat dirasai secara menyeluruh tanpa mengira lokasi atau latar belakang masyarakat.

“Dalam kepelbagaian adat, bahasa dan budaya yang mewarnai negara kita, sambutan ini (Kaamatan dan Gawai mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kemampuannya memelihara keharmonian dalam kemajmukan, memperkukuh semangat persaudaraan dan menyuburkan budaya saling menghormati.

“Atas semangat yang sama, Kerajaan Madani bertekad memastikan Sabah dan Sarawak menerima manfaat pembangunan yang saksama dan berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak.

Katanya, sambutan yang berakar daripada tradisi serta warisan masyarakat di kedua-dua negeri itu mencerminkan semangat kebersamaan, muafakat dan penghargaan terhadap hasil bumi.

“Saya ucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak.

“Semoga sambutan ini membawa kemakmuran, keberkatan serta memperteguh semangat muafakat dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian Malaysia tercinta,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN