MUAR: Peningkatan angka jangkitan Covid-19 di Singapura ketika ini diharap tidak menjadi penghalang untuk negara republik berkenaan membuka sempadan bagi membolehkan aktiviti ekonomi kedua-dua negara berjalan lancar.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu wajar diberikan perhatian ekoran kadar vaksinasi lengkap di Malaysia juga kini melebihi 90 peratus.
“Malaysia sudah capai 90 peratus kadar vaksinasi lengkap tetapi saya berharap kerajaan Singapura akan terus mempertimbang prosedur operasi standard (SOP) yang telah kita persetujui dengan kerajaan Malaysia.
“Soal meningkat atau pun tidak kes Covid-19 di negara itu, ia sepatutnya tidak menghalang Singapura untuk duduk berbincang dengan Johor dan Malaysia bagi membuka sempadan seberapa segera yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan walkabout bersama komuniti pesawah padi di Rumah Inap Desa Sungai Balang, di sini, hari ini.
Menurut Hasni, ketika ini rakyat Malaysia yang berada di Singapura sangat terkesan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri, baru-baru ini.
“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ada memaklumkan bahawa pihaknya sudah berbincang dengan kerajaan negara itu baru-baru ini dan Singapura telah meminta supaya memberi masa untuk mereka mengurangkan kes positif Covid-19.
“Namun, saya berpendapat bahawa apa jua keadaannya di sana, yang penting kita semua sudah melengkapkan vaksinasi.
“Untuk keadaan sekarang, kes positif Covid-19 naik atau turun adalah bukan isu yang terlalu penting tapi saya yakin Singapura dapat mengenal pasti bahawa dengan kadar vaksinasi lengkap boleh membantu usaha berkenaan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, kerajaan Johor bersedia untuk mengukuhkan segala potensi ekonomi di Muar khususnya hab perabot Malaysia, hab pelancongan dan pelaburan bagi merancakkan lagi aktiviti di daerah itu.
Terdahulu, Hasni memulakan lawatan ke Muar dengan melawat bangunan baharu Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang sedang dalam pembinaan.
Beliau kemudian ke Pejabat Daerah Muar, Bangunan Istana Tanjung bagi menyertai Sesi Libat Urus bersama Kepimpinan daerah sempena Belanjawan Johor 2022. – UTUSAN ONLINE