PETALING JAYA: Wujud penyalahgunaan kedudukan dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam membabitkan siasatan terhadap seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun.
Menurut sumber, individu berkenaan dipercayai menetapkan terma dan harga pembelian saham serta bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mempunyai kawalan penuh dalam keseluruhan proses.
“Siasatan awal turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama dan pemilik benefisial.
“Siasatan turut mendapati sebahagian dana dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia dianggarkan kira-kira RM30 juta bagi menyamarkan aliran kewangan sebagai pelaburan sah,” katanya.
Tambah sumber, aliran dana dikesan melibatkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah kira-kira RM225 juta (AS$48 juta) selain satu transaksi sekitar RM15.5 juta (AS$3.3 juta) di Labuan yang melibatkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam.
Kata sumber, turut disiasat dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai milik bekas CEO berkenaan, melibatkan RM47,000 atau kira-kira AS$10,000 dan RM45,000 (AS$37,000) menjadikan jumlah sekitar RM80,000.
Keseluruhan aliran dana luar negara dianggarkan melebihi kira-kira RM241 juta (AS$51.3 juta) dan dipercayai melibatkan syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI).
Sumber menjelaskan, tambahan enam akaun individu bernilai kira-kira RM11 juta menjadikan keseluruhan pembekuan kira-kira RM16.8 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul ketika dihubungi mengesahkan siasatan masih berjalan.
“SPRM sedang memperluas skop siasatan termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara seperti Singapura, BVI, UAE serta Labuan bagi meneliti transaksi rentas sempadan dan mengesan aset berkaitan,” katanya. – UTUSAN










