BESUT: Ujian buat sepasang suami isteri bagaikan tidak berpenghujung apabila dua daripada tiga cahaya mata mereka disahkan menghidap penyakit jantung kongenital (CHD) yang memerlukan rawatan dan pemantauan rapi.
CHD mengganggu aliran darah normal melalui jantung yang boleh berpunca daripada kecacatan pada dinding, injap atau saluran darah.
Dua anak lelaki pasangan Farid Hakimi Mohamad, 45, dan isterinya, Roziana Husain, 38, iaitu Muhammad Fayyadh Anaqi, 4, dan Muhammad Firas Anaqi, 16 bulan, disahkan menghidap penyakit kronik itu sejak dilahirkan.
Roziana berkata, Muhammad Fayyadh Anaqi yang merupakan anak kedua mereka menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran jantung sempit manakala anak bongsunya pula didiagnosis menghidap jantung berlubang serta saluran darah tersumbat.
“Memang pada mulanya kami tidak percaya dan tertanya-tanya mengapa ujian ini menimpa keluarga kami. Lama-kelamaan kami reda dan menganggap semuanya ketentuan Allah.
“Hospital kini sudah menjadi rumah kedua kami kerana hampir setiap bulan perlu berulang-alik membawa anak mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gertak Seratus di sini.
Menurut Roziana, Muhammad Fayyadh Anaqi menjalani pembedahan di sebuah hospital di Bangsar, Kuala Lumpur pada Mac lalu dan memerlukan rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
Katanya, keadaannya semakin baik dan aktif seperti kanak-kanak lain seusia. Namun, Muhammad Firas Anaqi memerlukan rawatan lebih intensif di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Tunku Azizah (HTA).
Roziana berkata, anak bongsunya dijadual menjalani pembedahan di IJN pada September ini.
“Sejak lahir, Muhammad Firas Anaqi berada di hospital selama tujuh minggu untuk menjalani rawatan dan ketika usianya sebulan, dia menjalani prosedur pemasangan stent dengan kos kira-kira RM38,000 yang sebahagiannya ditanggung IJN.
“Baru-baru ini, kami perlu menyediakan RM3,500 hasil simpanan dan sumbangan orang ramai bagi menampung baki kos prosedur ujian tiub yang berjumlah RM10,000 selepas sebahagiannya ditanggung hospital,” katanya.
Sementara itu, Farid Hakimi berkata, setiap kali temu janji di IJN memerlukan perbelanjaan tinggi termasuk kos perjalanan, penginapan dan keperluan harian.
Menurutnya, dia yang berniaga roti canai sejak empat tahun lalu memperoleh pendapatan kurang RM100 sehari dan tetap berusaha memenuhi keperluan keluarga dan kos rawatan anak-anak.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun Agrobank 2006363000084145 atas nama Farid Hakimi Mohamad. – UTUSAN










