PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperkenalkan mekanisme penstabilan harga bagi sektor kritikal seperti pertanian, logistik dan pengeluaran makanan bagi menangani tekanan kos yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu penting bagi mengelak kesan lebih besar terhadap kestabilan harga makanan, kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara.
Katanya, kerajaan juga perlu memperluas bantuan bersasar kepada pesawah, nelayan dan pengusaha kecil selain menyediakan sokongan kos input bagi mengelakkan gangguan musim penanaman.
“Kerajaan turut disaran menimbangkan potongan cukai kepada industri yang terkesan serta mengadakan libat urus segera dengan pihak industri bagi merangka langkah mitigasi yang berkesan.
“Kegagalan bertindak berisiko memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan harga makanan, kesejahteraan hidup rakyat serta ketahanan ekonomi negara dan akan benar-benar menjadi krisis yang sukar ditangani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, PN memandang serius rayuan pesawah yang semakin tertekan susulan kenaikan berterusan harga diesel yang meningkatkan kos penanaman padi dan mengancam kelangsungan pengeluaran makanan domestik.
Katanya, laporan terkini menunjukkan peningkatan ketara kos operasi pesawah terutama melibatkan kerja membajak, pam air, penuaian serta pengangkutan hasil.
“Situasi ini meningkatkan risiko kelewatan musim penanaman, pengurangan keluasan tanaman serta kemerosotan pengeluaran padi tempatan yang boleh menjejaskan keselamatan makanan negara dan meningkatkan kebergantungan kepada import.
“Kerajaan sebelum ini menyasarkan tahap sara diri beras negara mencecah 75 peratus pada 2025 berbanding 62.6 peratus pada 2022, namun angka itu menurun kepada 56.2 peratus pada 2023 dan 52.9 peratus pada 2024 serta dijangka terus menurun pada 2025 dan 2026,” katanya.
Menurut beliau, kebimbangan terhadap peningkatan kos turut disuarakan pelbagai sektor lain termasuk logistik, pengangkutan, pembinaan, perladangan, perikanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, peningkatan kos operasi dalam sektor berkenaan dijangka memberi kesan rantaian kepada harga barangan dan perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat.
“Tekanan harga semasa sebahagiannya dipengaruhi ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik di Asia Barat yang menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.
“Bagaimanapun, perkembangan global tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan tindakan kerana langkah segera dan konkrit diperlukan bagi melindungi sektor kritikal,” katanya.
Tambah Takiyuddin, keadaan itu berlaku ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup berterusan termasuk kesan pelarasan tarif elektrik, kenaikan kos bahan mentah serta caj perkhidmatan.
“Kenaikan harga gas juga akan memburukkan keadaan kerana ia meningkatkan kos penjanaan elektrik, pengeluaran industri serta sektor pembuatan yang berpotensi mencetuskan kenaikan harga lebih meluas dalam ekonomi.
“Harga gas industri misalnya meningkat lebih 20 peratus bagi tong 15 kilogram (kg) daripada RM70 kepada RM84 dan bagi tong 50kg naik lebih 22 peratus daripada RM220 kepada RM270,” katanya. – UTUSAN










