PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pihak industri sedang memantau peningkatan permintaan bahan api yang menyebabkan gangguan bekalan sementara di beberapa stesen minyak.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, langkah pemulihan bekalan sedang dilaksanakan dengan segera bagi memastikan keadaan kembali stabil.
“Kedudukan bekalan bahan api negara masih berada pada tahap stabil dan mencukupi. Oleh itu, orang ramai diminta tidak panik dan meneruskan pembelian seperti biasa.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keadaan kekal terkawal. Insya-Allah, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan akhbar Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. berhubung kemungkinan peningkatan sementara permintaan yang menyebabkan kekurangan bahan api di beberapa stesen minyak miliknya.
Dalam pada itu, Shell Malaysia turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pelanggan dan memberi jaminan akan berusaha memulihkan bekalan di stesen terjejas secepat mungkin. – UTUSAN










