KUCHING: Sarawak telah membuka semula pelancongan domestiknya bermula 1 Oktober lepas dan menjadi satu langkah yang disambut baik oleh pemain-pemain industri di negeri berkenaan.
Pengerusi Sarawak Research Society Profesor Madya Dr. Hiram Ting berkata, pembukaan sektor pelancongan domestik secara berperingkat perlu bagi tujuan ekonomi dan sosial.

Katanya, dengan pelancongan antarabangsa masih belum dibenar ketika ini atas beberapa faktor termasuk pemvaksinan sudah tentu ia akan memanfaatkan sektor pelancongan domestik.
“Bagaimanapun keberkesanan garis panduan pelancongan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari aspek penguatkuasaan dan keselamatan pelancongan atau pelanggan harus menjadi aspek utama yang perlu dipantau secara ketat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pengusaha inap desa Lars Larsen, 45, berkata seperti juga pengusaha lain beliau berasa lega apabila industri pelancongan dibuka semula.
Lars, seorang warganegara Norway mengusahakan inap desa Kura-Kura Homestay bersama isterinya, Liza Ahgau yang berketurunan Bidayuh di Kampung Semadang, Jalan Puncak Borneo.
Beliau menjangka operasi inap desa akan secara perlahan kembali seperti biasa dan sudah tentulah akan membantu perkembangan semula keseluruhan industri pelancongan di negeri ini.
“Bagi Kura-kura Homestay kami tidak sabar untuk menunggu pembukaan semula sektor pelancongan antarabangsa kerana pasaran inap desa kami lebih kepada pasaran pelancongan antarabangsa.
“Tetapi memandangkan sempadan negara masih ditutup kepada pelancong luar negara, jadi kami turut menerima pelancong tempatan di inap desa kami,” tambah Lars.

Menurut Lars, sejak pendemik Covid-19 menular pada Mac tahun lepas, Kura-Kura Homestay langsung tidak menerima sebarang tetamu dan beliau bersama isteri telah beralih kepada perniagaan memproses biji kopi dan menjual serbuk kopi ke kedai-kedai dan pasar raya.
Seorang lagi pengusaha inap desa Kerin Sarus, 56, berkata beliau lega dan menyambut baik keputusan kerajaan negeri Sarawak membjuka semula pelancongan domestiknya.
Katanya, sejak beberapa hari lalu beliau telah menerima pertanyaan daripada beberapa pelancong tempatan dan dari Kuala Lumpur yang bertanya mengenai inap desa miliknya Danu Homestay dan Ma’asa Homestay.

Kerin berkata, kali terakhir beliau menerima tetamu adalah pada bulan Februari tahun lepas menyebabkan perniagaan beliau lumpuh dan terpaksa bergantung kepada hasil jualan tanaman dari kebun yang diusahakannya. -UTUSAN ONLINE