MELAKA: “Kalau boleh, saya mahu sembuh… hendak kerja balik, cari nafkah untuk sara anak bini,” demikian luah Norull Habibul Annuar Ahmad, 42, dari Taman Seri Mangga, di sini selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan gout kronik.
Penyakit dialaminya itu menyebabkan beliau bukan sahaja berdepan kesakitan berpanjangan, malah hilang keupayaan untuk bekerja seperti biasa, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan keluarga.
Annuar berkata, keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga ada ketikanya hanya terlantar menahan sakit, selain sukar untuk bergerak akibat komplikasi penyakit berkenaan.
Sebelum ini, beliau bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan selama lapan tahun, namun terpaksa berhenti selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesihatannya terus merosot.
Kini, isterinya, Siti Nur Azia Mohd Rahim, memikul tanggungjawab sebagai pencari nafkah utama keluarga dengan bekerja di sebuah kedai gunting rambut dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
Pendapatan itu digunakan bagi menampung perbelanjaan harian serta komitmen keluarga termasuk membesarkan tiga anak mereka iaitu Tuah Anaqi, 7, Jebat Aryan, 4, dan Lekir Ahmad, 3, yang masih kecil.
Annuar berharap ada bantuan dan sokongan pihak berkaitan dan masyarakat bagi meringankan beban ditanggung keluarganya.
Keluarga ini hanya menumpang di rumah majikan isterinya di Taman Seri Mangga, Pokok Mangga di sini selepas tidak lagi mampu menampung kos kehidupan seperti sebelum ini.
“Pemilik tempat isteri saya bekerja memberi kami duduk rumah secara percuma dengan segala peralatan rumah mereka sediakan kami hanya masuk membawa pakaian sahaja,” katanya.
Katanya, antara kebimbangan terbesar adalah masa depan anak-anaknya, terutama daripada segi pendidikan dan keperluan asas.
“Yang penting bagi saya sekarang anak-anak dapat makan, pakai dan pelajaran. Saya cuma nak tengok mereka membesar dan berjaya,” katanya. – UTUSAN








