55,277 pesakit buah pinggang jalani rawatan dialisis

55,277 pesakit buah pinggang jalani rawatan dialisis

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis di negara ini terus meningkat kepada seramai 55,277 orang setakat tahun ini, sekali gus memberi tekanan besar kepada kemampuan kerajaan menanggung kos rawatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pada tahun lalu sahaja sebanyak 9,473 kes dikesan dengan 7,750 pesakit menjalani rawatan hemodialisis, manakala 1,723 menerima peritoneal dialisis serta 278 pesakit berada di peringkat akhir penyakit buah pinggang kronik.

Kata beliau, ini merupakan jumlah yang sangat besar dan kerajaan tidak mampu untuk menampung jumlah besar pesakit yang menjalani rawatan dialisis.

“Maka kita menganjurkan untuk mewujudkan dasar Peritoneal Dialysis (PD) First walaupun demikian kadar pengambilannya dalam kalangan industri dan swasta masih rendah kerana belum wujud dasar serta inisiatif yang sesuai.

“Kerajaan juga mengharapkan pihak swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat menyumbang bukan sahaja dalam penyediaan mesin dialisis, tetapi turut menampung kos melatih petugas kesihatan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran pasca asas nefrologi,” katanya di Dewan Negara,hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Datuk Prof. Dr. Mohamed Haniffa Abdullah bagaimana kerjasama awam dan swasta dapat dioptimumkan untuk mengurangkan beban kos dialisis kepada kerajaan dan pesakit.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai penubuhan Institut Buah Pinggang Negara ekoran jumlah pesakit yang semakin meningkat serta kekangan kritikal kemudahan rawatan, Lukanisman Awang berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan institut berkenaan buat masa ini kerana Malaysia sudah mempunyai Institut Neurologi.

“Jumlah pesakit (menjalani rawatan) dialisis di negara ini semakin ramai, justeru fokus utama adalah meningkatkan literasi kesihatan serta memperluaskan saringan awal. Melalui langkah itu, pesakit dapat dikenal pasti lebih awal sekali gus diberikan kaunseling yang bersesuaian.

“Berhubung cadangan penubuhan Institut Buah Pinggang Negara, negara sebenarnya telah memiliki Institut Nefrologi yang berperanan sebagai pusat kecemerlangan rawatan pesakit buah pinggang.

“Selain itu, satu lagi kaedah yang mampu mengurangkan kos rawatan dialisis ialah melalui pendermaan organ. Sekiranya pesakit berjaya menerima pemindahan buah pinggang, mereka bukan sahaja dapat mengurangkan beban rawatan, malah berpeluang kembali bekerja serta menyumbang kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN