Pengasas Rumah Bonda gagal dapat hak penjagaan anak

Pengasas Rumah Bonda gagal dapat hak penjagaan anak

SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini gagal mendapatkan semula hak penjagaan salah seorang anak angkat warga Indonesia yang berusia tiga tahun.

Menurut peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun, Majistret Norfarahain Roslan memutuskan demikian atas alasan pengasas rumah jagaan itu masih mempunyai kes jenayah di mahkamah yang masih belum diputuskan.

Pada 20 Ogos lalu, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

“Selain itu, pemohon (Siti Bainun) berumur di bawah 30 tahun yang mana berdasarkan keterangan Konsulat Indonesia, mana-mana individu yang ingin menjaga atau mengambil anak angkat warga mereka perlu berusia 30 tahun ke atas,”katanya ketika ditemui di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini.

Tambahnya, kanak-kanak warga Indonesia itu akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras.

Bagaimanapun, ujar Nur A’minahtul Mardiah, permohonan bagi empat lagi kanak-kanak masih belum diputuskan dan pendengaran permohonan serupa akan disambung pada 2 dan 16 November ini.

Siti Bainun, 29, memfailkan permohonan tersebut untuk mendapatkan semula lima anak angkatnya yang diambil oleh JKM selepas wanita itu ditahan bagi membantu siasatan polis berikutan kejadian remaja sindrom down berusia 13 tahun dipercayai didera, tular di media sosial.

Anak-anak angkat wanita itu berusia di antara dua dan 16 tahun (dua lelaki dan tiga perempuan) yang sebelum ini dipelihara oleh Siti Bainun kini ditempatkan di dua rumah kebajikan iaitu di Rembau, Negeri Sembilan dan Kuala Kangsar, Perak.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari sehingga Jun tahun ini yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah seksyen sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 November ini.

Pada 6 Julai lalu media melaporkan tentang seorang remaja OKU sindrom Down yang dikenali dengan nama Bella melecur di beberapa anggota badan akibat didera disyaki oleh penjaganya di sebuah premis yang dipercayai menjadi pusat jagaan kanak-kanak OKU di Wangsa Maju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya