Peneroka Felda rugi RM264j sebulan - Utusan Malaysia

Peneroka Felda rugi RM264j sebulan

HASIL eksport minyak sawit mentah (MSM) bagi 2022 yang dijangka meningkat 11.8 peratus kepada RM72.25 bilion daripada RM64.62 bilion tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak RM264 juta sebulan kerugian dianggarkan ditanggung 80,000 pe­neroka Felda di seluruh negara ekoran kekurangan tenaga buruh asing bagi menuai hasil sawit di ladang mereka.

Kerugian tersebut hanya mengambil kira tiga tan buah tandan segar (BTS) yang membusuk di pokok kerana tidak sempat dituai dalam tempoh dua pusingan sebulan membabitkan seorang peneroka di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Kerja-kerja penuaian buah kelapa sawit dilakukan dua pusingan pada setiap bulan berselang antara 15 hari ke 20 hari setiap pusingan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, isu ketiadaan buruh asing begitu ketara dalam industri sawit seluruh negara termasuk Felda.

“Akibatnya, peneroka Felda menanggung kerugian yang besar setiap bulan apabila buah kelapa sawit atau BTS tidak dapat dituai pada pusingan kedua.

“Itupun (kerugian) kita ambil kira hasil sawit dalam jumlah kecil iaitu tiga tan seorang pada pusingan kedua dan membabitkan 80,000 peneroka yang bersama dengan Felda,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan permintaan ketua-ketua peneroka di tanah rancangan di negeri ini yang meminta kerajaan segera membawa masuk buruh asing ke sektor perladangan bagi me­ngatasi kekurangan tenaga buruh pe­nuai buah sawit.

Sementara itu, Ketua Pene­roka Gabungan Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar berkata, kesan kekurangan tenaga buruh penuai sawit begitu kritikal ketika ini sehingga terdapat pe­neroka tidak sempat menuai hasil pada pusingan pertama.

Ketua Peneroka Felda Triang 1, Mat Jidi Yaakob pula berkata, tenaga buruh terbabit bukan sahaja menuai BTS tetapi diupah membaja pokok bagi menjaga kualiti hasil akan datang.

Katanya, kerajaan perlu segera menyelesaikan isu itu terutama dari Indonesia yang lebih rajin, berdisiplin dan mematuhi arahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN