SUNGAI PETANI: Eupe Corp. Berhad (Eupe) melebarkan sayap perniagaannya melalui pembangunan pusat komersial Edgewater di daerah ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion.
Terletak di atas tanah seluas 51.8 hektar di utara Sungai Petani, pembangunan Edgewater berkonsepkan teras ‘Revitalisasi Kehidupan’ yang bertujuan untuk mengintegrasikan tiga elemen iaitu komuniti, perdagangan dan persekitaran semula jadi.
Keseluruhan pembangunan merangkumi 700 unit kediaman moden, kedai komersial, ruang rekreasi dan hab biodiversiti khusus untuk pemuliharaan dan pameran spesies tumbuhan asli, sekali gus menonjolkan kepimpinan dan inovasi Eupe dalam perlindungan alam sekitar.
Pengarah Urusan Eupe, Datuk Beh Huck Lee berkata, melalui pembangunan itu, pihaknya turut berjaya menandatangani pajakan untuk rangkaian pasaraya Jaya Grocer sebagai penyewa utamanya dengan jangkaan pembukaan pada awal 2028.
“Ini merupakan cawangan pertama Jaya Grocer di Kedah dan dengan kehadiran Jaya Grocer, banyak syarikat lain telah menyatakan minat untuk membuka kedai di Edgewater kelak.
“Kita jangka Edgewater akan berkembang pesat kerana bakal memberi peluang kepada orang ramai hidup dalam keadaan selesa dan mampu memiliki apa yang ditawarkan,” katanya selepas taklimat pembangunan Edgewater di Kelab Cinta Sayang, di sini.
Projek tersebut juga akan memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi Kedah, termasuk mewujudkan pekerjaan, menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan lagi kualiti hidup keseluruhan di Sungai Petani.
Tambah Huck Lee, reka bentuk Edgewater bukan sekadar menyediakan ruang kediaman atau membeli-belah, tetapi lebih besar kerana bakal menjadi pemangkin penting untuk fasa pertumbuhan ekonomi Sungai Petani pada masa hadapan.
“Dalam merancang Edgewater, kita turut memberi penekanan yang besar terhadap perlindungan dan pemuliharaan ekosistem semula jadi, berusaha untuk memaksimumkan pemeliharaan sungai, ruang hijau dan habitat semula jadi.
“Melaluinya juga kita percaya akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat untuk terlibat aktif dalam fasa pembinaan dan ketika beroperasi yang secara langsung mampu merancakkan ekonomi di Sungai Petani kelak,” katanya. – UTUSAN










