KUALA LUMPUR: Pendaftaran automatik pengundi 18 tahun akan ditetapkan bermula 1 Januari 2022 setelah Kabinet memutuskan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan boleh merayu terhadap keputusan mahkamah yang memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.
Katanya, sebaliknya Jemaah Menteri memutuskan untuk tidak merayu keputusan berkenaan kerana mahu menghargai peranan anak muda di dalam mencorakkan arah tuju demokrasi negara.
“Mahkamah Tinggi Sarawak telah menetapkan bahawa pendaftaran pengundi (Undi18) bermula 1 Januari 2022.
“Sebelum itu SPR memaklumkan Undi18 boleh dilaksanakan pada September 2022 kerana masalah pentadbiran melibatkan pelbagai agensi.
“Apabila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu. Namun bagi menghargai anak muda, kita tidak akan merayu, maka keputusan (mahkamah) kekal,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 dsi sini hari ini.
Pada 3 September lepas, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.
Terdahulu Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.
Katanya, ia bakal meningkatkan bilangan pengundi muda yang berumur 30 tahun ke bawah iaitu dengan anggaran seramai 3.9 juta orang sehingga 31 Disember 2021.
“Daripada jumlah itu, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun adalah dianggarkan seramai 1.3 juta orang.
“Dua pindaan besar itu bakal menjadi penanda aras baharu dalam kepimpinan negara dan transisi kepemimpinan warga belia,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan sebelum ini telah meminda Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang dikenali sebagai Akta 668 dengan menurunkan julat usia belia daripada 15 hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun.
Sehubungan itu, Ismail Sabri menekankan penyediaan pemimpin pelapis yang berkaliber.
“Para pemimpin belia sedia ada, perlu menyediakan pemimpin pelapis yang berkaliber, sekali gus mempersiapkan diri mendepani cabaran kepimpinan negara yang lebih luas setelah melepasi had usia seperti ditetapkan,” katanya.










