Pemimpin ‘katak’ jangan ulas isu lompat parti - Jimmy Puah - Utusan Malaysia

Pemimpin ‘katak’ jangan ulas isu lompat parti – Jimmy Puah

JIMMY PUAH WEE TSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon diingatkan untuk ‘cermin diri’ setelah menyelar tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka sebagai pentingkan diri sehingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, Ahli Parlimen Tebrau itu terlebih dahulu menjadi pemimpin politik yang pentingkan diri apabila keluar PKR dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Februari lalu.

Timbalan Pengerusi PKR Johor itu berkata, pemimpin yang cakap kosong seperti dilakukan Steven Choong itu sama sekali tidak layak mengulas isu berkaitan lompat parti dan khianat mandat rakyat.

“Saya tak pasti sama ada Steven Choong dalam keadaan sedar atau tidak bahawa beliau sendiri terlebih dahulu menjadi pemimpin politik yang pentingkan diri apabila keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ketika itu.

“Kononnya keluar PKR dan menyokong Muhyiddin akan diberi jawatan tertentu untuk menjadi jambatan atau pemudah cara antara kerajaan dan perusahaan kecil sederhana (PKS) serta membantu menyelesaikan masalah rakyat Tebrau. Tapi sayang, sehingga hari ini ‘habuk pun tiada’.

“Pemimpin yang cakap kosong begini sama sekali tidak layak mengulas isu berkaitan lompat parti atau khianat mandat rakyat kerana semua ciri buruk ini ada dalam dirinya sendiri. Nasihat saya, sentiasalah cermin diri sendiri dan bermuhasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) bertindak menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Sementara itu, Jimmy Puah memberitahu, tindakan Steven Choong yang keluar parti tidak menjejaskan usaha PKR untuk terus berbakti kepada rakyat khususnya pengundi di Parlimen Tebrau.

“Tanpa beliau, PKR Johor khususnya Cabang Tebrau kekal utuh dan tidak henti terus beri komitmen berkhidmat kepada rakyat supaya kepercayaan rakyat akan kembali kepada kita pada Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Muhyiddin menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli Parlimen iaitu Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus meninggalkan PKR.

Steven Choong berkata, Muhyiddin ketika itu sebagai Perdana Menteri faham dan setuju dengan keperluannya untuk memiliki akses berjumpa dengan semua menteri dan ketua agensi kerajaan bagi membangkitkan dan menyelesaikan isu-isu rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya